V SHEM (kanan) dan Wee Kiong tewas kepada Ellis dan Langridge ketika aksi separuh akhir badminton di Carrara Stadium. -Foto YAZIT RAZALi
V SHEM (kanan) dan Wee Kiong tewas kepada Ellis dan Langridge ketika aksi separuh akhir badminton di Carrara Stadium. -Foto YAZIT RAZALi
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

GOH V Shem-Tan Wee Kiong memberikan alasan yang sukar diterima selepas tewas pada aksi separuh akhir beregu lelaki Sukan Komanwel di Carrara Sports and Leisure Centre hari ini.

Ramai yang menaruh keyakinan ke atas beregu ranking ke-14 dunia itu untuk meneruskan penguasaan dan meraih emas kelapan dalam acara berkenaan, tetapi juara bertahan itu dikejutkan 15-21, 21-16, 21-15 oleh pasangan England Marcus Ellis-Chris Langridge.

V Shem-Wee Kiong sebelum ini menewaskan pasangan Inggeris itu dalam straight set ketika separuh akhir berpasukan campuran.

“Selepas set pertama, kami tidak menjangka yang mereka akan menukar corak permainan. Mereka bermain begitu baik dan memaksa kami melakukan banyak kesilapan,” kata Wee Kiong.

Alasan Wee Kiong itu sukar diterima memandangkan beregu negara itu sudah memenangi banyak gelaran sebelum ini, dan mereka seharusnya cukup berpengalaman untuk mengatasi strategi lawan dari England itu.

“Tiada tekanan menjelang perlawanan itu. Mereka hanya menukar taktik dan bermain dengan konsisten. Ia sukar bagi kami dan mereka juga bertahan dengan baik,” kata V Shem.

Wee Kiong bagaimanapun berkata mereka agak kecewa tetapi menerima keputusan ini dan bertekad akan bangkit dengan lebih kuat.

“Persembahan kami di Rio (menang pingat gangsa Olimpik 2016) dan sekarang berbeza. Banyak perubahan dan kami belum mencapai prestasi terbaik kami,” katanya.

Mereka kembali digabungkan awal tahun ini selepas masing-masing memutuskan untuk bergandingan dengan pemain lain selama empat bulan tahun lalu.

V Shem-Wee Kiong menebus kehampaan dengan memenangi pingat gangsa selepas menewaskan gandingan Sri Lanka Sachin Dias-Buwaneka Goonethilleka 21-8, 21-13.

Dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut gagal mara ke final selepas tewas 21-19, 21-17 di tangan pasangan suami isteri dari England Chris dan Gabrielle Adcock.

“Kami tidak dapat mengawal permainan kami. Kami bertahan pada kebanyakan masa dan tidak dapat menyerang dengan lancar,” kata Li Ying.

Dalam penentuan pingat gangsa, Peng Soon-Liu Ying menewaskan lawan dari India Satwik Rankireddy-Ashwini Ponnappa 21-19, 21-19 dalam tempoh 46 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 8:52 PM