V SHEM dan Wee Kiong sah tinggalkan BAM. -Foto fail
V SHEM dan Wee Kiong sah tinggalkan BAM. -Foto fail

KUALA LUMPUR: Bekas beregu nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sah meninggalkan skuad kebangsaan berkuat kuasa Sabtu ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu muncul beregu kedua meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dua minggu lalu.

Bagaimanapun, peletakan jawatan V Shem-Wee Kiong sebagai pemain tidak mengejutkan kerana ada khabar angin mereka sudah berkira-kira mengenai keputusan itu hujung tahun lalu. Mereka akan terus beraksi pada kejohanan tetapi sebagai pemain profesional.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, BAM menyatakan: “Selepas pertimbangan rapi dan perbincangan mendalam, BAM mencapai kata persetujuan untuk menerima peletakan jawatan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong berkuat kuasa 5 Januari ini.

“BAM mahu merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 kerana berkongsi nilai-nilai, prinsip dan falsafah persatuan sepanjang 17 tahun bersama pasukan kebangsaan.

“BAM mahu mengucapkan selamat berjaya kepada bekas beregu nombor satu dunia ketika mereka membuka fasa baru dalam karier mereka.”

V Shem-Wee Kiong dikritik beberapa pihak kerana gagal bertindak cemerlang musim lalu.

Mereka gagal mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel di Gold Coast pada April dan hanya mampu membawa pulang pingat gangsa.

Beregu itu turut bergelut pada Pusingan Akhir Piala Thomas, Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 1:54 PM