V SHEM (kanan) dan Wee Kiong optimis tamat kemarau gelaran di Gold Coast. -Foto fail
V SHEM (kanan) dan Wee Kiong optimis tamat kemarau gelaran di Gold Coast. -Foto fail
Helmi Talkah


BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong optimis mampu menamatkan kemarau gelaran juara sejak 2016 pada saingan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia yang disingkap tirainya secara rasmi Rabu ini.

V Shem berkata, misi mereka pada temasya kedua terbesar dunia itu ialah mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi empat tahun lalu di Glasgow, Scotland.

“Saya dan Wee Kiong berjanji akan memberikan aksi terbaik. Harapan kami hanya satu iaitu mempertahankan emas di Glasgow empat tahun lalu,” kata V Shem ketika sidang media menjelang Sukan Komanwel 2018 di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara di sini, hari ini.

V Shem-Wee Kiong yang mengalami kemerosotan prestasi selepas menjulang gelaran Siri Super Akhir di Dubai pada Disember 2016 dipisahkan selama empat bulan, September lalu sebelum kembali digandingkan awal tahun ini.

Pencapaian terbaik mereka tahun ini adalah muncul naib juara Malaysia Masters, Januari lalu.

Pasangan ranking ke-13 dunia itu terkandas di peringkat suku akhir Seluruh England, dua minggu lalu selepas tewas kepada beregu berpengalaman Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

V Shem berkata, biarpun mereka masih gagal muncul juara sejak Disember 2016, namun prestasi mereka semakin meningkat dan hanya kurang bernasib baik.

“Seperti di Seluruh England, kami sudah buat yang terbaik menentang Mathias Boe-Mogensen tetapi nasib kami tidak baik. Saya percaya kami sudah menunjukkan peningkatan prestasi sejak kembali bergandingan pada Januari lalu.

“Kami percaya kami boleh akhiri kemarau gelaran juara tidak lama lagi,” kata V Shem yang meramalkan pasangan India dan England akan menjadi pencabar utama mereka dalam misi mempertahankan emas di Gold Coast.

V Shem-Wee Kiong turut akan menggalas cabaran Malaysia dalam acara berpasukan campuran yang juga hadir dengan misi mempertahankan emas yang dimenangi di Glasgow.

Turut berada dalam skuad negara ialah jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, Sonia Cheah (perseorangan wanita), Vivian Hoo-Chow Mei Kuan (beregu wanita), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie (beregu campuran) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 6:25 PM