LEE CHONG WEI
LEE CHONG WEI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


PENONTON dijangka dapat menyaksikan pertarungan sengit aksi badminton separuh akhir di Carrara Sports and Leisure Centre, esok.

Jaguh perseorangan negara yang menduduki ranking ketujuh dunia, Datuk Lee Chong Wei bakal menghadapi tugas getir menentang pilihan kedua dari India, HS Prannoy yang menewaskannya di Terbuka Indonesia dan Terbuka Denmark tahun lalu.

Chong Wei yang berusia 36 tahun menewaskan pemain Singapura, Loh Kean Yew 21-13, 21-16 dan Prannoy pula mengatasi cabaran pemain Sri Lanka, Dinuka Karunaratna 21-13, 21-6 dalam satu lagi aksi suku akhir hari ini.

“Perlawanan di antara Chong Wei dan Prannoy dijangka sengit dan mendebarkan. Chong Wei sudah pasti mahu membalas dendam selepas tewas di tangan lawan sama tahun lalu,” kata pengurus pasukan, Taupik Hussain.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, pemain nombor satu dunia yang juga pilihan pertama K Srikanth akan menentang pemain England, Rajiv Ouseph.

Bagaimanapun, Malaysia tidak mempunyai wakil dalam perseorangan wanita selepas Soniia Cheah tewas kepada pemain Kanada, Michelle Li 21-12, 21-19.

“Pergerakan saya di atas gelanggang perlahan hari ini selepas mengharungi banyak perlawanan. Dia (Michelle) berjaya mengawal permainan, saya berusaha sebaik mungkin tetapi gagal,” kata Soniia.

Dalam acara beregu lelaki, Chan Peng Soon-Goh Soon Huat tewas kepada pasangan India, Satwik Rankireddy-Shetty Chirag Chandrashekhar 21-14, 15-21, 21-9 di peringkat suku akhir. Bagaimanapun juara bertahan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mudah ke separuh akhir membenam beregu Scotland Alexander Dunn-Adam Hall 21-9, 21-17.

Beregu nombor 14 dunia itu akan menentang pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge untuk memburu slot ke final.

“Kami perlu meningkatkan aspek pertahanan. Walaupun kami menewaskan mereka dalam acara berpasukan, kami tidak boleh ambil mudah dan menjangka aksi lebih sengit kali ini,” kata V Shem

Dalam acara beregu wanita, gandingan Soniia Cheah-Shevon Lai Jemie mempamerkan aksi bertenaga sebelum tewas kepada pilihan utama dari Australia, Setyana Mapasa-Gronya Somerville 21-15, 21-16.

Vivian Hoo dan Chow Mei Kuan pula akan menentang beregu India Ashwini Ponnappa-N Sikki Reddy di separuh akhir selepas menewaskan pasangan England, Chloe Birch-Jessica Pugh 21-11, 21-6.

Dalam acara beregu campuran, Peng Soon-Goh Liu Ying membenam cabaran beregu nombor 25 dunia dari India, Pranaav Chopra-N Sikki Reddy 21-17, 21-12 dan akan menentang gandingan England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock di separuh akhir.

Sementara itu pasangan nombor 9 dunia yang juga pilihan utama, Soon Huat-Shevon gagal menyerlah selepas tewas di tangan Satwik-Ashwini dari India 21-19, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:13 PM