PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah gagal teruskan kemaraan skuad negara.  FOTO/REUTERS
PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah gagal teruskan kemaraan skuad negara. FOTO/REUTERS
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

HASRAT Datuk Lee Chong Wei untuk menjadi atlet Malaysia paling berjaya dalam saingan Sukan Komanwel tidak kesampaian apabila skuad badminton negara tewas 1-3 di tangan India dalam aksi final berpasukan campuran yang berlangsung di Kompleks Sukan Carrara, hari ini.

Chong Wei memburu pingat emas berpasukan campuran bagi menyamai rekod Koo Kien Keat yang meraih lima gelaran juara dan berpeluang mengatasinya dalam saingan individu.

Beregu campuran India, R Satwik-P Ashwini menyumbang mata pertama India apabila menundukkan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-14, 15-21, 21-15 dalam tempoh 65 minit.

Peng Soon-Liu Ying berjaya mendahului 11-7 pada aksi set penentuan tetapi Satwik-Ashwini menukar strategi permainan mereka dan berjaya bangkit untuk memenangi perlawanan.

“Kami mengawal perlawanan ketika 11-7 sebelum mereka mengubah corak permainan. Kami cuba untuk melakukan serangan balas tetapi tidak berjaya,” kata Liu Ying.

Pemain nombor enam dunia, Chong Wei turun dengan misi untuk menyamakan kedudukan buat skuad negara tetapi dia tewas kepada K Srikanth 21-17, 21-14 sekali gus membolehkan India mendahului 2-0.

Malaysia berjaya merapatkan jurang menerusi kemenangan yang diraih beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menewaskan Satwik-S Chirag Chandrashekhar 21-15, 22-20.

Saina Nehwal muncul wira India apabila menyumbang mata kemenangan buat India selepas menewaskan Soniia Cheah 21-11, 19-21, 21-9 dalam aksi perseorangan wanita.

Sementara itu, gangsa menjadi milik England yang menewaskan Singapura 3-0.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 7:50 PM