IZZUDDIN (kanan) bersama Sze Fei tidak beraksi  di Terbuka Finland saat akhir. FOTO/FAIL
IZZUDDIN (kanan) bersama Sze Fei tidak beraksi di Terbuka Finland saat akhir. FOTO/FAIL
Fabian Peter


PASANGAN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani masih berharap untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas Mei depan, walaupun mereka terpaksa menarik diri pada saat akhir di Terbuka Finland.

Naib juara Malaysia Masters 2017 itu, sepatutnya beraksi di kejohanan berkenaan sebagai pilihan utama, namun ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit menggugurkan mereka pada minggu lalu.

“Kami percaya jurulatih (Soon Kit) ada perancangan lain buat kami. Itu yang menyebabkan kami tidak beraksi di Eropah.

“Kejohanan kami selepas ini berkemungkinan Cabaran Antarabangsa Malaysia (17-22 April), sebelum berangkat ke China untuk Kejohanan Badminton Asia (24-29 April).

“Slot ke Piala Thomas masih lagi terbuka tapi kami tidak memikirkan mengenainya. Fokus kami yang paling utama ialah permainan dan ranking. Jika kami mampu memperbaikinya peluang untuk berada dalam pasukan sangat tinggi,” kata Izzuddin ketika dihubungi hari ini.

Sejak mara ke saingan akhir Malaysia Masters di Sibu, pasangan ini dilihat bergelut untuk mencari rentak apabila sering tersingkir di pusingan pertama setiap kejohanan yang disertai, sebelum bangkit pada November tahun lalu untuk meraih gelaran Cabaran Antarabangsa Malaysia.

Penarikan diri Sze Fei-Izzuddin, menyaksikan Malaysia bakal bergantug harap kepada gandingan Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen yang berjaya mara ke perlawanan akhir Orleans Masters semalam.

Chun Kang-Wee Gieen bakal memulakan kempen dengan bertemu pasangan Switzerland, Mathias Bonny-Oliver Schaller.

Satu lagi pasangan negara yang akan beraksi di kejohanan berkenaan ialah Chen Tang Jie-Hoo Pang Ron.

Pemain lain yang bakal beraksi di Finland ialah perseorangan lelaki, Leong Jun Hao, Cheam Jun Wei, perseorangan wanita, S.Kisona, Lee Ying Ying dan Lim Yin Fun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 2:33 PM