Choong Hann mahu anak buahnya terus percaya kepada diri sendiri. FOTO NSTP/OWEE AH CHUN.
Choong Hann mahu anak buahnya terus percaya kepada diri sendiri. FOTO NSTP/OWEE AH CHUN.
Fabian Peter

 

KUALA LUMPUR: Ia satu ujian besar buat pemain negara untuk memberi impak di Masters Malaysia yang akan bermula esok, namun Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mahu anak buahnya terus percaya kepada diri sendiri.

Berdasarkan keputusan dicatatkan di Masters Thailand minggu lalu, Choong Hann percaya masanya akan tiba buat beberapa pemain untuk membuktikan kemampuan.

Ia membabitkan pemain seperti Lee Zii Jia, Cheam June Wei (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei, Lee Ying Ying (perseorangan wanita) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki).

Bagaimanapun, hanya Zii Jia, Jin Wei, Ying Ying dan Aaron-Wooi Yik akan beraksi di kejohanan yang bermula esok di Arena Axiata di Bukit Jalil.

"Saya tidak sempat menyaksikan semua perlawanan di Thailand namun saya berjaya melihat beberapa aksi.

"Secara keseluruhan, saya rasa mereka beraksi di luar jangkaan, dengan ada yang mengejutkan pemain ranking lebih tinggi.

"Saya percaya pemain harus percaya kepada diri sendiri, semua bergantung kepada usaha keras mereka untuk membolehkan mereka pergi jauh.

“Ia bukan mengharapkan nasib dan bukan pemain lawan yang menentukan kemenangan, sebelum ini mereka mungkin terlupa perkara ini," kata Choong Han yang bersara sebagai pemain selepas Sukan Olimpik Beijing 2008.

Choong Hann menambah, keupayaan dan kekuatan mampu dipersiapkan bila-bila masa namun kepercayaan pada diri sendiri harus bermula sejak usia muda.

Bekas pemain nombor satu dunia itu juga mengakui tidak tertekan berikutan pemain yang meninggalkan badan induk itu (Chan Peng Soon-Gooh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong) muncul juara di Thailand Masters semalam.

"Tidak ada yang berubah, malah saya berharap pemain yang kita ada sekarang mampu belajar dengan bekas rakan sepasukan mereka. Ia membuktikan bahawa anda boleh berada di mana saja untuk menjadi pemain terbaik dunia.

"Ketika di Thailand Masters, pasangan nombor dua negara (Ong Yew Sin-Teo Ee Yi) tumpas kepada V Shem-Wee Kiong di suku akhir dan mereka mengakui masih kurang bagus.

"Tidak ada yang perlu dimalukan jika dapat melihat kelemahan sendiri. Saya rasa anda perlu malu jika tidak melakukan apa-apa untuk berubah.

"Masters Malaysia bukan satu kejohanan mudah dan di atas kertas pemain kita mungkin tidak mampu melakukan impak besar namun saya mahu mereka percaya pada diri sendiri. Turun dan berikan yang terbaik, jangan gentar dengan pemain lawan," kata Choong Hann.

Pemain negara yang berada dalam undian utama kejohanan itu ialah gandingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan perseorangan wanita, Soniia Cheah.

Kejohanan akan bermula esok bagi saingan pusingan kelayakan dan pusingan pertama beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 9:49 PM