WEE Gieen tekad beri aksi terbaik di final. - Foto Fail
WEE Gieen tekad beri aksi terbaik di final. - Foto Fail
Ferzalfie Fauzi


PASANGAN beregu lelaki negara, Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen berazam untuk menebus kekecewaan di Cabaran Antarabangsa Malaysia tahun lalu dengan harapan mampu menumpaskan Mark Lamsfuss-Marvin Emil Seidel di perlawanan akhir Orleans Masters.

Tahun lalu di Cabaran Antarabangsa Malaysia, Chun Kang-Wee Gieen terlepas peluang untuk menjulang trofi apabila tumpas kepada rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam perlawanan akhir.

Pasangan nombor 71 dunia itu berjaya mara ke perlawanan akhir Orleans Masters selepas menumpaskan Akbar Bintang Cahyono-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-14, 13-21, 21-16 dalam saingan separuh akhir awal pagi ini di Palais des sports, Paris.

Menurut Wee Gieen, menjelang perlawanan akhir lewat malam ini, dia bertekad untuk memberikan aksi terbaik walaupun berdepan dengan pilihan ketiga kejohanan.

“Saya akan bermain seperti biasa tapi berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Apa pun saya sudah bersedia untuk perlawanan akhir ini dan akan memberi tentangan habis-habisan kepada pasangan Jerman itu,” kata adik kepada pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Tan Wee Kiong.

Jelasnya, dalam aksi separuh akhir sebentar tadi dia bersama Chun Kang berjaya memberikan persembahan terbaik walaupun diheret pasangan lawan sehingga ke set penentuan.

“Bagaimanapun, saya akui banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki. Pada set pertama kami dapat membaca permainan mereka dan mudah mencatatkan kemenangan 21-14, namun mereka menukar rentak pada set kedua.

“Di set penentuan kami berjaya memerangkap mereka semula dan dalam masa sama mereka jarang melakukan pukulan lambung,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Lamfuss-Emil Seidel berjaya mara ke akhir selepas mengalahkan pilihan kelapan dari Denmark, Kasper Antonsen-Niclas Nohr 21-18, 12-21, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 11:22 AM