AUBAMEYANG (kanan) terpaksa jadi penonton ketika rakan sepasukan menentang Milan di Emirates. -Foto EPA
AUBAMEYANG (kanan) terpaksa jadi penonton ketika rakan sepasukan menentang Milan di Emirates. -Foto EPA
Reuters

LONDON: Penyerang Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang berkata ‘ketiadaannya’ dalam kempen Liga Europa musim ini  secara paksaan menjadikan permulaan hidup barunya di London begitu mengecewakan.

Aubameyang, yang menyertai Arsenal pada Januari, beraksi dengan bekas kelabnya Borrusia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara musim ini namun peraturan ketat UEFA menghalangnya daripada mewakili kelab barunya di pentas Eropah sepanjang  baki musim ini.

“Saya benar-benar kecewa kerana peraturannya agak ketat, saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya tetapi saya kecewa kerana gagal membantu pasukan,” kata Aubameyang.

“Sewaktu saya berada di Dortmund, saya bermain setiap tiga hari tetapi kini saya bermain sekali seminggu atau tempoh yang lebih lama di antara perlawanan. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi inilah kehidupan. Saya perlu menghadapinya.”

Aubameyang yang mewakili Gabon menjaringkan tiga gol Liga Perdana Inggeris dalam lima aksi bersama kelab termasuk ketika menewaskan Watford 3-0 Ahad lalu.

“Saya tidak banyak bermain pada Januari jadi sukar untuk mencari rentak. Kini saya semakin baik. Saya bekerja bersungguh-sungguh, berusaha keras sepanjang beberapa minggu lalu dan gembira kerana semuanya semakin baik,” katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu terpaksa menjadi penonton ketika rakan sepasukannya berdepan AC Milan pada aksi kedua 16 terakhir Liga Europa di Stadium Emirates awal pagi Jumaat.

Arsenal menewaskan  AC Milan 2-0 pada aksi pertama.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 3:08 PM