Aubameyang (kanan) dikatakan kata ‘ya’ kepada Solskjaer. FOTO REUTERS
Aubameyang (kanan) dikatakan kata ‘ya’ kepada Solskjaer. FOTO REUTERS
Agensi

PENYERANG Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang dikatakan bersetuju untuk menyertai Manchester United selepas Romelu Lukaku bakal meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan musim panas.

Arsenal dikatakan akan kehilangan aset bintang mereka biarpun berat untuk menjualnya kepada musuh ketat pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Bagaimanapun, peminat United pasti masih ingat bagaimana Robin van Persie meninggalkan Gunners pada 2012 dan memberikan impak serta-merta bersama Red Devils.

Kelab Itali, Inter Milan begitu cenderung mahukan Lukaku dan akhbar Itali, Tuttosport melaporkan Aubameyang sudah berkata 'ya' kepada kemungkinan untuk menyertai United bagi menggantikan penyerang Belgium itu.

Aubameyang menyerlah dalam EPL bersama Gunners sejak menyertai kelab itu daripada Borussia Dortmund dengan harga £54 juta (RM283j).

Dia menamatkan saingan musim lalu sebagai penjaring terbanyak bersama, meraih Kasut Emas dengan 22 gol ketika Arsenal menamatkan saingan musim di tempat kelima tetapi terlepas beraksi pada Liga Juara-Juara (UCL).

Pada usia 30, Aubameyang kelihatan menjadi perhatian kepada pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer yang mahukan sokongan kepada pemain muda seperti Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka.

Aubameyang membuktikan dirinya sebagai penyerang tengah berbahaya dalam EPL dan mampu memberikan ketajaman untuk meningkatkan jaringan dalam skuad disertai.

Prestasi Lukaku yang menurun pada penghujung kempen menyebabkan dia tidak lagi mendapat perhatian Solskjaer dalam kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 6:20 PM