AUBAMEYANG ketika menghidap penyakit malaria baru-baru ini. FOTO Agensi
AUBAMEYANG ketika menghidap penyakit malaria baru-baru ini. FOTO Agensi
AFP

London: Pierre Emerick Aubameyang memberi penghormatan kepada staf perubatan yang membantunya sembuh daripada penyakit malaria tatkala dia ingin beraksi bersama Arsenal dalam separuh akhir Liga Europa menentang Villarreal.

Aubameyang, 31, menjaringkan gol kedua The Gunners ketika menang 2-0 ke atas Newcastle semalam dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL)

Ia adalah penampilan pertamanya sejak mengalami masalah kesihatan ketika selepas beraksi di peringkat antarabangsa bersama Gabon dan Aubameyang sekarang ini boleh diturunkan pada separuh akhir kedua berdepan wakil Sepanyol itu.

Aubameyang beraksi selama 77 minit di St James Park semalam.

"Pada lima minit terakhir saya sedikit kepenatan. Bagaimanapun, untuk menceritakan perkara sebenar, saya beraksi sangat baik dalam keseluruhan perlawanan, jadi saya berasa sangat gembira.

"Saya perlu mengakui bahawa doktor melaksanakan tugas dengan menakjubkan ke atas saya, membawa saya ke hospital. Jadi saya sangat berterima kasih kepada mereka.

"Selepas beberapa minggu tidak beraksi anda akan berasa lega apabila kembali berada di atas padang. Saya sangat gembira kembali dan menjaringkan gol," katanya.

Sekarang Aubameyang, yang beraksi sebagai pemain gantian pada minit terakhir minggu lalu ketika Arsenal tumpas 1-2 kepada Villarreal, sudah tidak sabar untuk memainkan peranannya sekali gus menentukan nasib Arsenal musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 9:27 PM