KANE (kanan) menerima rawatan kecederaan buku lali. -Foto AFP
KANE (kanan) menerima rawatan kecederaan buku lali. -Foto AFP
AFP

LONDON: Son Heung Min memastikan Tottenham Hotspur tidak sengsara berikutan kecederaan buku lali dialami Harry Kane apabila dia menjaringkan dua gol ketika menang 4-1 di Bournemouth, awal pagi tadi.

Spurs melonjak mengatasi Liverpool ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, namun ia kemenangan yang memilukan susulan kebimbangan mengenai kecergasan Kane bagi tugasan kelab dan pasukan kebangsaan.

Pengurus England, Gareth Southgate akan menamakan skuadnya Khamis ini bagi aksi persahabatan menentang Belanda dan Itali hujung bulan ini.

“Kami bimbang kerana kami masih tidak tahu apa akan berlaku terhadapnya,” kata bos Spurs, Mauricio Pochettino.

“Kami perlu menunggu hingga esok atau lusa untuk mengetahui keputusan imbasan. Saya harap ia bukannya masalah besar. Itulah harapan saya.”

Tottenham mengalami kempen mengecewakan tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Juventus pada pertengahan minggu lalu dan kelihatan masih keletihan ketika mereka bergelut dalam 10 minit pertama.

Junior Stanislas menyaksikan rembatannya terkena palang sebelum membuka tirai jaringan dengan merembat leret ke penjuru gol selepas hanya tujuh minit.

Kane berjaya meletakkan bola ke dalam jaring apabila dia berlaga dengan penjaga gol Bournemouth, Asmir Begovic sebelum setengah jam, namun dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Lebih buruk buat pelawat apabila Kane gagal kembali ketika dia keluar terhincut-hincut untuk membalut buku lali kanan sama yang menyaksikannya diketepikan sebanyak dua kali musim lalu.

Spurs tidak terkesan dan seminit selepas Erik Lamela menggantikan Kane, mereka menyamakan kedudukan apabila Dele Alli menyempurnakan hantaran silang Serge Aurier.

Pelawat sering kali kelihatan mampu menjaringkan gol selepas rehat dan Heung Min meneruskan prestasi baiknya apabila meledak masuk hantaran silang Alli dengan rembatan akrobatik.

Ketika Bournemouth memburu gol penyamaan, pemain Korea Selatan itu mempunyai ruang yang banyak untuk menyumbat masuk gol ke-18 musim ini tiga minit sebelum tamat. Aurier kemudian menyempurnakan gol keempat Spurs pada masa kecederaan.  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 8:04 AM