Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pasangan beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong (gambar) berjaya meraih kejuaraan sulung tahun ini apabila muncul juara Grand Prix Emas Terbuka India menumpaskan gandingan tuan rumah Pranaav Chopra-Akshay Dewalkar pada perlawanan akhir semalam.

Bagaimanapun V Shem-Wee Kiong yang sedang memburu slot ke Sukan Olimpik Rio 2016 terpaksa berhempas-pulas apabila perlawanan diheret ke set ketiga sebelum menang 14-21, 24-22, 21-8 di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das, Lucknow.

Ini kali kedua pasangan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu mencatat kemenangan ke atas Pranaav-Akshay, kali pertama ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Thomas 2014 di New Delhi.

Kemenangan itu membolehkan V Shem-Wee Kiong meraih hadiah wang tunai AS$9,480 (RM39,000), manakala Pranaav-Akshay sekadar membawa pulang AS$4,560 (RM18,000).

Kali terakhir gandingan nombor 16 dunia itu menjulang trofi pada Disember lalu apabila muncul juara di GP Amerika Syarikat.

Minggu lalu di GP Emas Masters Malaysia, V Shem-Wee Kiong terkandas pada suku akhir selepas tumpas di tangan pasangan Jepun Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dalam tiga set.

Pada aksi perseorangan wanita, pilihan kedua Sung Ji Hyun dari Korea Selatan muncul juara apabila mengalahkan Sayaka Sato dari Jepun 12-21, 21-18, 21-18.

Korea Selatan mengungguli beregu wanita apabila gandingan Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan berjaya juara selepas mengalahkan Eefje Muskens-Selena Piek 21-15, 21-13.

Sementara itu, pilihan kedua beregu campuran dari Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto dipaksa bermandi peluh sebelum menang 23-25, 21-9, 21-16 ke atas Puavaranukroh Dechapol-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:43 AM