V SHEM (kiri) dan Wee Kiong harapan negara benam Korea.
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong harapan negara benam Korea.

Kuala Lumpur: Gandingan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong mungkin sekali lagi menjadi watak pembakar semangat menjelang aksi suku akhir Piala Sudirman 2015 Dongguan apabila Malaysia diundi bertemu semula Korea Selatan.

Jurulatih beregu lelaki negara Jeremy Gan mengharapkan anak buahnya kali ini lebih konsisten seterusnya membantu pasukan mara ke separuh akhir bertemu sama ada pemenang antara Denmark atau Jepun.

“Mereka harus sentiasa bersedia dan menganggap semua pemain lawan bakal ditemui sukar dijinakkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Berdasarkan undian suku akhir semalam, V Shem-Wee Kiong sudah pasti bertemu semula pasangan nombor satu dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong hari ini.

Pada aksi peringkat kumpulan, V Shem-Wee Kiong melakukan kejutan apabila menang 20-22, 21-14, 27-25 dalam perlawanan yang berlangsung satu jam 18 minit seterusnya membantu Malaysia mencatat kemenangan 3-2.

“Ada beberapa perkara yang perlu Wee Kiong perbaiki untuk aksi seterusnya, terutama ketika mengambil bulu tangkis di depan jaring. Begitu juga dengan tiga pukulan pertama.

“Bagi V Shem pula, saya lihat dia semakin bagus. Kecederaan lututnya pula semakin pulih. Saya mahu dia terus cemerlang dengan idea lebih bernas di gelanggang,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Ditanya sama ada kemenangan beregu lelaki sangat penting dalam saingan Piala Sudirman kali ini, Jeremy mengakui anak buahnya mampu menjadi penyuntik semangat kerana mereka turun aksi pertama.

“Permulaan positif sangat penting untuk acara berpasukan, itu sebabnya kami mengharapkan mereka sentiasa bermula dengan kemenangan,” kata Jeremy.

Selain V Shem-Wee Kiong, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen turut membawa seorang lagi pemain beregu lelaki, Mak Hee Chun sebagai simpanan.

Setakat ini, V Shem-Wee Kiong masih memegang rekod 100 peratus kemenangan apabila mengalahkan beregu India, Mannu At
tri-Sumeeth Reddy 21-15, 21-16 ketika membantu Malaysia mencatat kemenangan kedua 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:07 AM