AARON-Wooi Yik berjaya mengetepikan wakil tuan rumah di pusingan pertama Toyota Terbuka Thailand. FOTO NSTP
AARON-Wooi Yik berjaya mengetepikan wakil tuan rumah di pusingan pertama Toyota Terbuka Thailand. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Dua beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh V Shem-Tahn Wee Kiong masing-masing berjaya mara ke pusingan kedua namun mereka dijangka akan bertemu sesama sendiri andai berjaya mara sehingga ke suku akhir Kejohanan Badminton Toyota Terbuka Thailand yang memulakan saingannya hari ini.

Naib juara Seluruh England 2019, Aaron-Wooi Yik melangkah ke pusingan kedua selepas melakarkan kemenangan mudah menentang wakil tuan rumah, Weeraphat Phakjarung-Wongsathorn Thongkam 21-10, 21-18.

Manakala V Shem-Wee Kiong tidak perlu memerah keringat ketika turun menentang pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Kim Gi Jung yang menarik diri ketika kedudukan 6-2 pada set pertama akibat kecederaan.

Bagi Aaron, kemenangan itu baru permulaan perjalanan mereka namun ia menjadi pembakar semangat untuk terus mara lebih jauh selepas tewas kepada V Shem-Wee Kiong di Yonex Terbuka Thailand di pusingan awal minggu lalu.

"Kami memang sangat harapkan kemenangan ini untuk mendapatkan semula rentak dan mahu melangkah lebih jauh dalam Siri Jelajah Super 1,000 ini.

"Tak kisah kalau jumpa V Shem-Wee Kiong di suku akhir kerana yang pasti kami akan memberikan saingan sebab kami juga mahukan kemenangan. Menang atau kalah itu soal kedua tapi yang penting kami akan berikan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, V Shem ketika dihubungi berkata, mereka bernasib baik kerana tidak perlu mengerah keringat berikutan Yong Dae mengalami kecederaan betis.Namun ketika ditanya sama ada mereka mampu mengulangi pencapaian ketika aksi pertama Terbuka Thailand, V Shem berkata, yang penting adalah fokus pada setiap perlawanan.

"Paling penting fokus setiap perlawanan. Satu demi satu sebab saingan di sini bukan mudah," katanya yang turut berdepan pasangan Thailand Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren selepas menang ke atas Goh Sze Fei-Nur Izzuddin - 13-21, 21-13, 21-17.

Turut mara satu lagi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan pasangan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Kilasu Ostemeyer 21-13 21-13.

Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut mara selepas menewaskan Chloe Birch-Lauren Smith, 21-14, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 5:39 PM