SIMONA (kiri), Angelique  mara separuh akhir Terbuka Australia.
SIMONA (kiri), Angelique mara separuh akhir Terbuka Australia.
AFP

MELBOURNE: Angelique Kerber dan Simona Halep mendominasi saingan hari ini untuk mara ke separuh akhir Terbuka Australia, ketika Chung Hyeon meneruskan reputasinya sebagai ‘pembunuh gergasi’ Grand Slam.

Angelique, pemain Jerman yang muncul juara dua tahun lalu menewaskan Madison Keys 6-1, 6-2, dan akan berdepan pemain nombor satu dunia yang merekodkan 14 kemenangan setakat ini.

Simona, pilihan utama kejohanan turut cemerlang di Arena Rod Laver apabila membelasah pilihan keenam Karolina Pliskova 6-3, 6-2, menang sembilan perlawanan berturut-turut selepas ketinggalan 0-3 pada set pertama.

Pemain Korea Selatan, Chung berjaya melepasi pemain Amerika Syarikat Tennys Sandgren 6-4, 7-6 (7/5), 6-3 untuk menjadi pemain ranking terendah mara ke separuh akhir selepas Marat Safin pada 2004.

Berada di ranking 58 dunia, pemain berkaca mata berusia 21 tahun yang digelar ‘The Profesor’ ternyata terlalu hebat buat rakannya yang juga pendatang baru meskipun dia memerlukan enam mata perlawanan sebelum meraih kemenangan.

“Saya hanya cuba untuk terus fokus, ini kali pertama saya berdepan perlawanan seperti ini,” kata pemain kelahiran Suwon, yang juga pemain pertama dari negaranya mara ke separuh akhir Grand Slam.

Pertarungan berikutnya buat Chung yang sudah pun menewaskan juara enam kali Novak Djokovic atau pilihan Alexander Zverev adalah sama ada juara bertahan Roger Federer atau pemain Republik Czech Tomas Berdych yang akan beraksi malam ini.

Angelique yang memenangi gelaran itu pada 2016 berada pada tahap terbaik selepas menjuarai Piala Hopman dan kejayaan dalam kejohanan pemanas badan di Sydney.

Madison seperti dijangka memberi cabaran hebat, tidak ketinggalan sebarang set untuk mara ke suku akhir namun sukar mengatasi pukulan pemain Jerman itu.

“Saya cuba mencari mood seperti pada 2016,” kata Angelique yang hambar pada tahun lalu berbanding kejuaraan dikecapinya di Australia dan Terbuka AS pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 9:30 PM