PEMAIN Republik Czech, Karolina Pliskova mengembalikan pukulan pemain Switzerland, Viktorija Golubic di suku akhir acara perseorangan wanita Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Republik Czech, Karolina Pliskova mengembalikan pukulan pemain Switzerland, Viktorija Golubic di suku akhir acara perseorangan wanita Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Karolina Pliskova layak kali pertama ke separuh akhir Wimbledon, hari ini, selepas menang 6-2, 6-2 ke atas pemain Switzerland, Viktorija Golubic.

Bekas pemain nombor satu dunia, Pliskova, yang kini menduduki ranking ke-13, akan berdepan sama ada pemain pilihan kedua dari Belarus, Aryna Sabalenka atau Ons Jabeur dari Tunisia untuk merebut tiket ke final, Sabtu ini.

Pliskova belum pernah menang gelaran Grand Slam dengan pencapaian terbaiknya di acara utama adalah tempat kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2016.

"Saya sangat gembira mara kali pertama ke separuh akhir di Wimbledon," kata pemain Czech berusia 29 tahun itu, yang akan bermain di separuh akhir kali keempat di Grand Slam.

Kali terakhir dia beraksi di separuh akhir adalah Terbuka Australia 2019.

"Ini adalah penampilan pertama saya di Court One tahun ini dan saya terpaksa bekerja keras untuk sampai ke gelanggang ini.

"Saya rasa semakin meningkat pada setiap perlawanan."

Pliskova belum lagi melepaskan set di Wimbledon tahun ini dan melakukan lapan servis ace, hari ini, menjadikan 40 untuk kejohanan ini.

"Saya membuat persediaan baik dan berharap prestasi ini akan berterusan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 11:18 PM