AUBAMEYANG jaring 30 gol buat Dortmund musim lalu. -Foto AFP
AUBAMEYANG jaring 30 gol buat Dortmund musim lalu. -Foto AFP
AFP

BERLIN: Perhatian kini terarah sama ada Pierre-Emerick Aubameyang akan kembali mengisi kesebelasan utama Borussia Dortmund untuk menentang Hertha Berlin awal pagi Sabtu ini ketika penyerang berstatus bintang itu dilaporkan bakal menyertai Arsenal.

Jurulatih Dortmund, Peter Stoeger memberitahu majalah Sport Bild beliau “mengandaikan” Aubameyang, yang menjaringkan 21 gol dalam 23 perlawanan musim ini akan kekal bersama pasukan itu tetapi ‘jika dia meninggalkan pasukan itu, sukar untuk menggantikannya dengan kuota gol sebanyak itu.’

Laporan media Jerman mendakwa pemain Gabon itu mahu ke Arsenal selepas dikenakan tindakan disiplin Ahad lalu dan Dortmond meletakkan nilai 70 juta euro (RM338 juta) buat penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu.

“Dia berlatih bersama pasukan dan sentiasa dalam perancangan kami,” kata Stoeger mengenai Aubameyang dengan tumpuannya kini terarah ke Berlin.

Pemain berusia 28 tahun itu yang menjaringkan 30 gol liga musim lalu, digugurkan daripada aksi menentang Wolfsburg Ahad lalu kerana tidak hadir mesyuarat pasukan.

Ia kali ketiga dia dikenakan tindakan disiplin oleh Dortmund dalam tempoh 16 bulan selepas merakam video premis kelab itu tanpa kebenaran November lalu dan menaiki jet ke Milan sebelum aksi Liga Juara-Juara setahun sebelum itu.

Stoeger menurunkan Alexander Isak, 18, ketika menentang Wolfsburg, namun jentera serangan Dortmund kehilangan sentuhan penyudah Aubameyang apabila mensia-siakan banyak peluang.

Rembatan Jadon Sancho, pemain Dortmund yang juga bintang skuad Bawah-19 England terkena tiang pada separuh masa kedua ketika kedua-dua pasukan gagal mencetak sebarang jaringan.

Dortmund dijangka mendapatkan kembali khidmat pemain tengah Amerika Syarikat, Christian Pulisic, manakala pertahanan tengah baru Manuel Akanji juga mungkin diturunkan menentang Hertha.

Pulisic, 19, baru pulih daripada kecederaan tulang kering yang menyebabkannya tidak dapat diturunkan menentang Wolfsburg.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 12:07 PM