MOURINHO mahu anak buahnya bersemangat jika mahu diturunkan pada pertemuan dengan Leicester City.
MOURINHO mahu anak buahnya bersemangat jika mahu diturunkan pada pertemuan dengan Leicester City.
AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho memberi amaran kepada pemain yang beraksi ketika tewas di tangan Bristol City apabila menegaskan mereka tidak akan menjadi pilihan untuk diturunkan pada pertemuan dengan Leicester City, malam esok.

Kekalahan mengejut 1-2 dalam aksi suku akhir Piala Liga di tangan kelab kejuaraan itu menyaksikan United tidak akan mempertahankan trofi dimenangi mereka di bawah bimbingan Mourinho musim lalu - trofi pertamanya sebagai pengurus di Old Trafford.

Mourinho tidak akan mempertimbangkan pemain yang beraksi hambar ketika menentang Bristol dengan fokus adalah untuk merapatkan jurang 11 mata dengan pendahulu liga, Manchester City.

“Realitinya adalah pemain yang beraksi di atas padang di Bristol tidak akan berada dalam perlawanan akhir liga dan menjadi pemain yang tidak akan beraksi pada perlawanan seterusnya.

“Saya fikir mereka mensia-siakan peluang untuk bermain di separuh akhir dan peluang untuk bermain dalam dua lagi perlawanan,” kata Mourinho.

Bagaimanapun, pemain seperti Zlatan Ibrahimovic yang kali pertama beeraksi dalam kesebelasan utama dijangka akan terbabit dengan perlawanan menentang Leicester termasuk Paul Pogba.

Khidmat Anthony Martial dan Marcus Rashford juga pastinya ditagih Mourinho biarpun kedua-dua pemain berkenaan diturunkan ketika menentang Bristol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 12:55 AM