JOSE MOURINHO
JOSE MOURINHO
Reuters

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menyifatkan kekalahan 3-1 kepada pendahulu Liga Perdana, Manchester City berpunca daripada kerja keras mereka menewaskan Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara, pertengahan minggu lalu.

United mempamerkan kebangkitan untuk melakar kemenangan 2-1 mengatasi juara Itali di Turin manakala City beraksi di laman sendiri menentang kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk dengan meraih kemenangan 6-0 dan pengurus dari Portugal itu dengan pantas menjadikan ia alasan.

“Semua perlu bersetuju. Bertandang ke Juventus dan menentang salah sebuah pasukan terbaik dunia untuk tempoh 90 minit dan ia adalah perkara berbeza apabila menewaskan Shakhtar Donetsk 6-0 di laman sendiri serta ia sangat mudah. Kami hadir untuk perlawanan ini dengan keadaan yang berbeza,” katanya.

“Ia bukan saja usaha secara fizikal namun tekanan mental. Saya fikir sesetengah pemain merasainya,” tambah Mourinho.

Namun berbeza dengan sesetengah kekalahan musim ini, Mourinho enggan mengkritik karakter dan usaha anak buahnya.

“Kami melakukan kesilapan. Kami dihukum namun memberikan tentangan bersama, ia adalah sesuatu yang kami bina dan tidak kehilangannya kerana satu kekalahan,” katanya.

“Tiada kritikan kepada pemain saya, semuanya positif. Saya bersama mereka dan sebaliknya,” jelas bekas pengendali Real Madrid itu.

Skuad kendalian Mourinho turun tanpa pemain tengah Perancis, Paul Pogba kerana kecederaan namun beliau tidak mahu menggunakan ia sebagai alasan selain mengakui langkah menurunkan Marouane Fellaini merencatkan perancangannya.

“Saya tidak suka bercakap tentang kekalahan dan tentang pemain yang tidak dapat diturunkan. Saya tidak gemar mengenainya namun dia adalah penting untuk kami dalam banyak aspek,” jelas Mourinho merujuk kepada Pogba.

“Kami terpaksa menurunkan Fellaini dari awal, dia tidak bersedia untuk aksi 90 minit. Saya boleh bayangkan ketika ketinggalan 2-1 dan saya berpeluang menurunkan Fellaini, mereka pasti berdepan masalah besar.”

United kini berada di kedudukan kelapan Liga Perdana dengan 12 mata ketinggalan kepada pendahulu City selain 12 mata di depan pasukan zon penyingkiran, Cardiff City.

Ketika ditanya sama ada kedudukan berkenaan menutup harapan untuk gelaran juara, Mourinho membalas: “Saya fikir kami tidak akan tersisih dari Liga Perdana.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:16 AM