SAIFUL mengesahkan status tujuh pemain Thunderbolts.
SAIFUL mengesahkan status tujuh pemain Thunderbolts.
Naqib Nor Said


TENAGA Nasional Berhad (TNB) akan menyerap masuk tujuh pemain TNB Thunderbolts yang juga skuad pembangunan bagi memantapkan pasukan itu menjelang saingan Liga Premier 2018.

Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasruddin berkata, tujuh pemain itu ‘dinaikkan pangkat’ selepas berjaya meyakinkannya dengan prestasi hebat sepanjang tahun ini.

Penjaring terbanyak TNB Thunderbolts, Mohammad Akhimullah Anuar Esook yang meledak tujuh gol dalam 14 perlawanan Liga Premier musim ini muncul antara pemain yang berjaya menambat hati Nor saiful itu.

Enam pemain lain ialah penjaga gol, Muhammad Hamiz Mohd Ahri, 17; Shello Silverius, 18; Azrai Aizad Abu Kamal, 18, Amirul Hamizan Azahar, 17, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, 17; dan Syarman Mat Tee, 15.

“Walaupun TNB hanya membariskan 100 peratus pemain tempatan, tetapi untuk tahun ini kita letakkan sasaran penamat podium selepas beberapa tahun gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik.

“Ia bukannya mudah. Pasukan kali ini dibarisi tiga kelompok pemain iaitu pemain senior negara, pemain yang baru diserap mewakili negara dan pemain yang sedang meningkat naik. Jadi saya perlu adun sebaik mungkin,” katanya.

Selain memburu keputusan lebih membanggakan, Nor Saiful juga sedia menjadikan kempen musim depan sebagai misi serampang dua mata untuk TNB terus menjadi ‘kilang’ melahirkan pemain negara.

“Pasukan lain mungkin tidak seberani kami, tetapi di TNB kami bersedia menggunakan khidmat pemain usia belasan tahun yang dilihat memiliki potensi menjadi pemain negara. Contohnya, seperti tujuh pemain ini.

“Malah, kita yakin dengan kehadiran Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil pada musim depan akan menambah lagi sengat pasukan.”

Sebagai rekod, TNB kali terakhir menjulang trofi Liga Hoki Malaysia adalah pada kempen 2003 dan tidak mustahil rekod itu mampu dipadam pada musim depan ketika program ‘sekolah angkat’ mereka mula membuahkan hasil.

Ini kerana menerusi program itu, TNB berjaya melahirkan pemain negara seperti Faiz Helmi Jali, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Ramadan Rosli yang kini mula meningkat menjadi tonggak pasukan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:21 PM