PEMAIN TNB meraikan kejuaraan mereka melakarkan kemenangan 4-2 ke atas KLHC  dalam aksi Hoki TNB Liga Hoki Malaysia di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil hari ini. Foto BERNAMA
PEMAIN TNB meraikan kejuaraan mereka melakarkan kemenangan 4-2 ke atas KLHC dalam aksi Hoki TNB Liga Hoki Malaysia di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil hari ini. Foto BERNAMA
Naqib Nor Said


KETUA jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasruddin mengakui strategi serangan awal menjadi kunci terhadap kejayaan skuad kendaliannya mengatasi Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 4-2 dalam aksi kedua Liga Perdana, sebentar tadi.

Jelas Nor Saiful, strategi itu jelas membuahkan hasil apabila mereka hanya memerlukan 10 minit untuk selesa mendahului KLHC 2-0 dalam aksi di Stadium Hoki Bukit Jalil itu sekali gus membunuh semangat lawan sejak awal permainan.

“Memang sejak dari awal kami mengamalkan corak permainan menyerang kerana saya percaya setiap pasukan akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri di awal permainan.

“Nampaknya misi kami pada hari ini berjaya apabila meraih dua gol awal sebelum kami membunuh semangat mereka menerusi gol ketiga, bagi saya mana-mana pasukan sukar untuk bangkit daripada ketinggalan 3-0.

“Cuma strategi ini sedikit memenatkan dan ia jelas kelihatan apabila pemain saya melepaskan dua gol di hujung permainan. Tetapi saya berharap mereka sempat berehat untuk perlawanan Rabu ini,” kata Nor Saiful sejurus tamat aksi itu.

Sebaik suku pertama bermula, TNB mendominasi permainan dan mengambil kesempatan di atas kelewatan KLHC menyesuaikan diri untuk berada di depan menerusi penyudah pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan seawal minit kelima.

Lima minit kemudian tiba giliran penyerang berusia 18 tahun Mohamad Akhimullah Anuar Esook menambah jaringan kedua TNB yang terhasil menerusi percubaan kilas yang gagal diselamatkan penjaga gol Roslan Jamaluddin.

Ternyata kejutan awal itu menjadikan TNB lebih bersemangat dengan menambah dua gol menerusi Firhan Ashaari pada minit ke-18 dan Muhammad Shahril Saabah (48), masing-masing melalui jaringan padang.

Keghairahan TNB menambah jaringan akhirnya memakan diri sendiri apabila membenarkan KLHC merapatkan kedudukan menerusi pemain import Korea Selatan, Jang Jonghyun yang meledak dua gol pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan 60, namun ia sudah terlambat.

Kemenangan terbabit menyaksikan TNB bukan saja mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana dengan enam mata tetapi juga berjaya dalam misi membalas dendam di atas kekalahan 1-2 kepada KLHC dalam aksi suku akhir Piala Tan Sri P Alagendra sebelum ini.

Seterusnya, TNB bakal berdepan ‘adiknya’, TNB Thunderbolts dalam aksi ketiga Rabu ini

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 10:10 PM