GOL Messi (kanan) tidak dikira walaupun  sudah melepasi garisan gawang gol. FOTO/AFP
GOL Messi (kanan) tidak dikira walaupun sudah melepasi garisan gawang gol. FOTO/AFP
AFP

VALENCIA: Gol penyamaan lewat permainan Jordi Alba mengekalkan kelebihan empat mata Barcelona ke atas Valencia di puncak La Liga dalam keputusan seri 1-1 di Mestalla yang menyerlahkan kekurangan teknologi garisan gol liga Sepanyol itu.

Percubaan babak pertama Lionel Messi jelas sudah melepasi garisan tetapi tidak dikira sebagai gol dan tidak seperti liga Eropah lain, La Liga enggan menggunakan teknologi berkenaan atas faktor kos.

Gol pembukaan Rodrigo pada minit ke-60 menambah derita Barca, tetapi pelawat bangkit dengan umpanan Messi yang menemui Alba lapan minit sebelum tamat sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam La Liga.

Bagaimanapun, kegagalan mengutip mata penuh buat kali kedua musim ini membolehkan Real Madrid dan Atletico Madrid merapatkan jurang dengan pendahulu itu kepada lapan mata.

“Ia jelas satu kesilapan oleh pengadil,” kata Alba. “Saya sendiri dapat melihatnya dari tengah padang. Ketika rehat kami menonton ulang tayang dan ia sangat jelas.”

La Liga bagaimanapun bercadang memperkenalkan pengadilan bantuan video (VAR) musim depan bagi menangani situasi kontroversi.

“VAR adalah sesuatu yang membantu bola sepak dan akan memastikan perkara sebegini tidak berlaku,” kata Alba.

Ketiadaan tonggak pertahanan Gerard Pique yang digantung perlawanan, menyaksikan Thomas Vermaelen mengisi kesebelasan utama Barca dalam saingan La Liga buat pertama kali sepanjang tempoh dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 10:20 AM