LEO MESSI
LEO MESSI
AFP

MADRID: Sevilla melakukan kejutan apabila mendahului carta La Liga, selepas Lionel Messi hanya mampu menyelamatkan Barcelona dengan keputusan seri 1-1, ketika berdepan Valencia, awal pagi tadi.

Barca memulakan saingan dengan kedudukan teratas liga dan kemudian Atletico Madrid meraikan seketika kedudukan di puncak apabila mengatasi Real Betis 1-0, di Wanda Metropolitano.

Sevilla bagaimanapun mengatasi kedua-dua pasukan itu apabila mengatasi Celta Vigo yang bermain 10 orang dengan kemenangan 2-1, dan Barca gagal kembali ke puncak selepas diikat Valencia di Mestalla dalam perlawanan selepas itu.

Ia bermakna, skuad kendalian Ernesto Valverde kini satu mata di belakang Sevilla, dan tanpa kemenangan dalam liga selepas empat perlawanan, Barcelona je;as semakin merosot selepas kejayaan mengatasi Tottenham pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis lalu.

Messi yang menyerlah di Wembley, kembali mendapat sentuhan apabila sepakannya ke penjuru pada minit ke-23 menyamakan kedudukan selepas jaringan pelik buat Valencia, hanya selepas 78 saat perlawanan berlangsung.

Ezequiel Garay menjaringkan gol untuk Valencia selepas sepakan penjuru Daniel Parejo disentuh Geoffrey Kondogbia, dan Thomas Vermaelen pula terlepas sebelum bola melintasi belakang Gerard Pique.

Philippe Coutinho sepatutnya mampu memberikan kemenangan buat Barcelona pada babak kedua, tetapi dia mengambil masa terlalu lama untuk melepaskan sepakan dan Jose Gaya berjaya menampan.

“Apabila kami tidak menang, kami sentiasa berfikir ia adalah kehilangan dua mata,” kata Valverde.

“Selepas jaringan Leo, kami mencuba semuanya tetapi mereka bertahan dengan baik dan kami tidak dapat jaringan yang kami mahukan.”

Bagi Valencia, yang kini tidak tewas dalam enam perlawanan, keputusan itu adalah langkah yang baik, kerana walaupun mereka gagal mendapat kemenangan namun berjaya melonjak naik ke tangga ke-14 liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 8:39 AM