Reuters

MANCHESTER, England: Pemain tengah Manchester United, Michael Carrick (gambar) menjalani pembedahan jantung akibat denyutan tidak sekata, umumnya menerusi akaun Twitter semalam.

“Selepas merasakan sesuatu yang tidak kena pada babak kedua ketika perlawanan menentang Burton September lalu, saya menjalani beberapa siri pemeriksaan,” kata Carrick.

“Didapati denyutan jantung saya tidak sekata dan saya terpaksa menjalani prosedur yang dinamakan cardiac ablation.”

Pemain 36 tahun itu membuat kenyataan berkenaan bagi menjawab soalan mengapa dia tidak beraksi.

Menurut Carrick, dia dalam usaha mengembalikan kecergasannya dan menyasarkan untuk turun beraksi dalam masa terdekat.

“Saya rasa baik sekarang. Saya ingin menyatakan saya sudah sihat dan kembali menjalani latihan bersama pasukan,” katanya.

Carrick beraksi dalam empat perlawanan pramusim bersama United tetapi tidak diturunkan hingga perlawanan Piala Liga menentang Burton.

Carrick membuat penampilan pertamanya bersama West Ham United pada 1999, menyertai Tottenham Hotspur dan kemudian United pada 2006.

Dia sudah bermain lebih 300 kali untuk kelab dan 34 kali bersama England.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 12:49 PM