CARRICK mengakui Ronaldo tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan dengan corak permainan Rangnick. FOTO EPA
CARRICK mengakui Ronaldo tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan dengan corak permainan Rangnick. FOTO EPA
AFP

London: Michael Carrick percaya Cristiano Ronaldo mampu menyinar dengan corak permainan proaktif dan bertenaga yang gemar digunakan oleh pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick.

Sebelum ini ramai yang memperkatakan penyerang United itu tidak mempunyai kualiti untuk menyesuaikan diri dengan perancangan permainan pantas Rangnick.

Rangnick dilantik sebagai pengurus United sehingga hujung musim selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat.

Ketika pengendali kelahiran Jerman itu masih lagi menunggu permit kerja, Carrick akan kekal sebagai jurulatih sementara menjelang pertemuan dengan Arsenal di Old Trafford pagi esok.

Carrick langsung tidak sangsi dengan kemampuan bintang Portugal berusia 36 tahun itu untuk menyesuaikan diri dengan taktik Rangnick.

"Ia hanya mitos. Dia sudah beraksi dengan banyak pasukan dalam beberapa tahun sebelum ini dan berjaya bermain dengan pelbagai corak permainan.

"Dia tetap mampu menjaringkan dengan mana-mana pasukan yang diwakilinya dan saya rasa dia akan terus meledak jaringan, ia tidak dapat disangkalkan lagi.

"Pemain harus menyesuaikan diri dengan apa cara corak permainan sekali pun. Anda hanya perlu kemahiran untuk corak yang berbeza. Ralf mempunyai sejarah hebat dalam tempoh yang lama dan berjaya mengenai apa yang diterapkan.

Carrick mencetuskan beberapa perdebatan mengenai Ronaldo apabila beliau meletakkan bekas bintang Juventus itu di bangku simpanan dan kemudian menggunakan taktik menekan lawan ketika seri 1-1 di Chelsea pada Ahad.

Ronaldo dilihat terus memasuki terowong bilik persalinan selepas tamat perlawanan sekali gus mencetus dakwaan dia tidak berpuas hati dengan Carrick.

"Ia satu keputusan yang mempunyai impak besar tapi sebenarnya antara kami berdua secara peribadi tidak ada sebarang masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 9:56 AM