ASMAD (gambar kecil) berterima kasih kepada pengumuman Perdana Menteri.
ASMAD (gambar kecil) berterima kasih kepada pengumuman Perdana Menteri.
Haika Khazi


PENGETUA Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Asmad Ahmad menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana prihatin dan menyalurkan dana berjumlah RM20 juta menerusi Bajet 2018 bagi menaik taraf kemudahan dan menjadikan SSBJ sebagai sekolah sukan premier pada masa depan.

Asmad yang masih terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri itu memberi jaminan SSBJ akan memanfaatkan sepenuhnya dana yang akan disalurkan kerajaan untuk menaik taraf pelbagai kemudahan asas dan menggantikan peralatan sukan lama di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, Asmad berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dengan pegawai dan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

“Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menyalurkan satu dana yang besar untuk kami menaik taraf kemudahan dan membeli peralatan sukan baharu bagi kegunaan pelajar di SSBJ.

“Saya berharap pemberian dana yang besar ini secara tidak langsung dapat meningkat peranan SSBJ sebagai sekolah sukan premier dan pusat kecemerlangan bagi melahirkan lebih ramai atlet sukan bertaraf dunia pada masa depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Asmad berkata demikian ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri bahawa peruntukan RM20 juta akan disalurkan kerajaan kepada SSBJ menerusi Bajet 2018, untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan premier.

Bagi mengekalkan momentum bidang sukan dalam menjadi kuasa besar sukan, Najib berkata, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi melaksanakan inisiatif meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlet, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara.

Pada masa sama, kerajaan juga mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara, dengan kosnya mencecah RM112 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:53 PM