DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen. FOTO Jabatan Penerangan Malaysia
DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen. FOTO Jabatan Penerangan Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ekosistem sukan negara dijangka terus berkembang dan meningkat apabila kerajaan memperuntukkan sejumlah RM324 juta untuk program latihan dan kemudahan sukan dalam Belanjawan 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan besar itu bagi membolehkan industri sukan terus bergerak ke hadapan antaranya dalam penyediaan atlet menghadapi temasya sukan, termasuk atlet para dan menaik taraf kemudahan sukan.

"Berhubung atlet sukan negara, Kerajaan akan terus menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk manfaat semua atlet termasuk atlet para melalui penyediaan dana berjumlah RM324 juta.

"Peruntukan ini antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium serta tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan akan turut menyalurkan dana RM5 juta buat bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Malah, majikan yang mengambil bekas atlet bekerja akan turut diberi potongan cukai bagi membantu golongan itu.

"Bagi memelihara dan melindungi kebajikan para atlet, dana RM5 juta disediakan kepada Yakeb (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) bermula 2023.

"Dalam masa sama, Kerajaan turut bercadang memberi potongan cukai kepada majikan yang menggajikan bekas atlet negara," katanya.

Anwar turut menegaskan, Kerajaan akan sentiasa menyokong penganjuran sukan dengan menerapkan nilai-nilai murni antara kaum.

Untuk itu, Ahli Parlimen Tambun itu mengumumkan peruntukan dana geran padanan RM50 juta untuk penganjuran program-program belia termasuk sukan dan kebudayaan.

"Bagi menjayakan program-program ini, Kerajaan akan menyediakan dana geran padanan 50 juta ringgit bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 5:55 PM