IRFAN Bakti (tengah) memberi arahan kepada pemainnya. -Foto fail
IRFAN Bakti (tengah) memberi arahan kepada pemainnya. -Foto fail
Malik Muhamad


BUKAN saja kemenangan diidamkan Terengganu apabila berkunjung ke Stadium Proton, Tanjung Malim, petang esok bertemu pasukan di tangga kedua tercorot liga MISC-MIFA, tetapi jumlah jaringan turut menjadi sasaran skuad Penyu dalam aksi Liga Perdana.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, selain kemenangan dituntut daripada anak buahnya dalam perlawanan itu, beliau turut mahukan pemainnya meledak seberapa banyak jaringan sebagai bekalan untuk memburu kejuaraan liga.

“Bagaimanapun apa yang penting kami mahukan tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Perdana sekali gus kembali ke Liga Super musim depan.

“Tapi jika pemain dapat menghasilkan lebih banyak jaringan ia menjadi bonus buat pasukan kerana tiga pasukan terdekat termasuk pendahulu liga Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) juga bersaing hebat merebut dua tempat teratas untuk layak ke Liga Super,” kata Irfan.

Berdasarkan kedudukan terkini carta Liga Perdana, Terengganu berada di tangga kedua hanya dipisahkan dengan perbezaan gol di belakang pendahulu Kuala Lumpur dengan 41 mata. Mereka menyumbat 36 gol berbalas 23 manakala Kuala Lumpur 42 gol berbalas 20.

Bagi mencapai misi muncul juara liga, skuad yang terkenal dengan slogan Peteh Terengganu Peteh itu perlu menang semua baki tiga perlawanan bertemu MISC-MIFA, PDRM (29 September) dan PKNP (20 Oktober) serta mencatat jaringan besar.

Mengulas lanjut, Irfan mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah pertemuan dengan skuad pendatang baru Liga Perdana itu kerana skuad lawan mempunyai senjata bahaya iaitu pemain berjersi nombor 24, Kpah Sherman.

“Sebarang kelalaian pasti mengundang padah apatah lagi beraksi pada waktu petang selain lawan pasti bertungkus-lumus untuk menang bagi mengelak tersingkir ke Liga FAM, justeru saya tuntut pemain gunakan peluang ini untuk mencatat kemenangan bagi memudahkan lagi laluan untuk melangkah ke saingan Liga Super,” tegas Irfan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 12:10 PM