Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh negara Abdul Latif Romly (gambar) bersedia untuk ‘terbang’ di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mula menyambung latihannya sejak minggu lalu sebaik pulang ke tanah air dari menyertai Kejohanan Olahraga Para Dunia di London.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu mengakui dia sudah 80 peratus bersedia dan tidak sabar untuk menyertai temasya dwitahunan ini buat kali pertama.

“Saya sudah seminggu berlatih sejak pulang dari London (bulan lalu) dan fokus saya sepanjang latihan adalah terarah kepada memperbaiki teknik, menguatkan fizikal dan mental,” katanya ketika ditemui di Himpunan Sukarelawan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Menurut atlet kelahiran Perlis itu, jurulatih Syahrul Amri Suhaimi juga memberi penekanan kepada teknik lompatan sepanjang latihan fasa terakhir sebelum bermulanya Sukan SEA.

“Bagi diri saya sendiri memang saya akui masih mempunyai kelemahan pada bahagian kekuatan, mungkin disebabkan kekurangan kejohanan dan terlalu lama tidak ada sebarang pertandingan.

“Bagaimanapun, semua kelemahan itu diharap mampu diperbaiki untuk membolehkan saya memberikan cabaran sengit kepada atlet dari negara seperti Filipina dan Vietnam,” katanya yang bersaing di Sukan Paralimpik di bawah kategori F20.

Ditanya mengenai sasaran peribadinya di Sukan SEA, Olahragawan 2016 itu berkata, dia berhasrat untuk memecahkan rekod dunia F20 7.60 meter yang dicatatkannya di Rio.

“Saya mahu melalukan jarak lompatan lebih dari catatan 7.60m, mengenai pingat pula saya tidak janji tapi jika berjaya meraihnya ia adalah satu bonus buat saya,” katanya yang berusia 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 11:23 AM