PENYERANG Denmark, Martin Braithwaite (dua dari kiri), menjaringkan gol keempat pasukannya ketika menang 4-0 ke atas Wales di pusingan kedua Euro 2020, hari ini. FOTO EPA
PENYERANG Denmark, Martin Braithwaite (dua dari kiri), menjaringkan gol keempat pasukannya ketika menang 4-0 ke atas Wales di pusingan kedua Euro 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Amsterdam: Denmark meraikan ulang tahun ke-29 pencapaian hebat mereka dengan melangkah ke suku akhir Euro 2020, hari ini, apabila Kasper Dolberg menjaringkan dua gol untuk membelasah Wales 4-0 di pusingan kedua.

Di depan penyokong setia yang datang ke Amsterdam dan di bandar yang menjadi tempat Christian Eriksen mencipta namanya, Dolberg - seorang lagi bekas pemain Ajax - menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-27.

Gol itu datang ketika Wales memulakan permainan dengan tersusun, tetapi Denmark tidak menoleh ke belakang apabila Dolberg menjaringkan gol kedua selepas babak kedua disambung.

Joakim Maehle dan Martin Braithwaite menjaringkan dua gol lewat untuk melengkapkan malam gemilang mereka.

Dibantu emosi, impian Denmark bermula dengan trauma apabila Eriksen rebah di padang akibat serangan jantung pada perlawanan pembukaan menentang Finland di Copenhagen dan mereka tewas 0-1.

Mereka kini mara ke suku akhir dan menanti pemenang perlawanan antara Belanda dan Republik Czech di Baku pada 3 Julai.

Eriksen yang dalam proses pemulihan selepas serangan jantung itu, muncul dalam minda setiap orang di Ajax dan dibantu sokongan penyokong yang sanggup datang, Johan Cruyff Arena ibarat gelanggang sendiri mereka.

Mereka mengetepikan semua ramalan apabila menewaskan Jerman di final pada 1992 untuk muncul juara Eropah.

Sejak itu, kemenangan besar ke atas Wales ini adalah kemenangan pertama di pusingan kedua dan bakal menjadi cerita luar biasa sekiranya kisah 29 tahun itu berlaku semula.

Wales yang menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Harry Wilson dilayangkan kad merah, tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengulangi kejayaan mara ke separuh akhir Euro 2016.

Mereka mengharapkan sentuhan ajaib kapten, Gareth Bale atau Aaron Ramsey , tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Selain sokongan seluruh dunia buat Denmark susulan insiden menimpa Eriksen, larangan kepada penyokong dari United Kingdom masuk ke Belanda menyebabkan tidak ramai penyokong Wales di stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 2:09 AM