Liverpool, England: Rekod sempurna James Milner untuk sepakan penalti lebur pada saat genting musim Liga Perdana buat Liverpool apabila seri 0-0 dengan Southampton malam tadi, menjejaskan peluang pasukannya layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pertahanan kiri itu menjaringkan gol menerusi tujuh percubaan penalti musim ini namun percubaan kelapannya berjaya diselamatkan penjaga gol Southampton, Fraser Forster pada minit ke-66 dalam aksi hambar di Anfield.

Ia juga kegagalan penalti pertama buat Milner dalam Liga Perdana sejak 2009, yang mana ketika itu dia bermain mewakili Aston Villa.

Mata tunggal itu membawa Liverpool ke tangga ketiga di atas Manchester City tetapi ia dianggap kegagalan merebut peluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas dan kembali ke pertandingan elit kelab Eropah musim depan.

Southampton mempamerkan pertahanan kental dan tidak memberi sebarang peluang buat Liverpool yang mempamerkan aksi mudah dijangkakan.

Liverpool hanya mengutip dua mata daripada tiga perlawanan terakhir di Anfield dan bergelut tanpa penjaring terbanyak kelab itu Sadio Mane yang mengalami kecederaan.

Reds mempunyai baki dua perlawanan menentang West Ham di tempat lawan dan Middlesbrough di laman sendiri tetapi kedudukan mereka masih boleh dipintas City, Manchester United dan Arsenal. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 11:54 AM