MILNER menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Cardiff. - FOTO Reuters
MILNER menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Cardiff. - FOTO Reuters
AFP

JAMES Milner berkata dia akan menjadi peminat Manchester United buat pertama kali jika seteru tradisi itu dapat membantu Liverpool mengakhiri kemarau trofi kejuaraan Liga Perdana.

Pemain versatil veteran itu beraksi bersama tiga ‘musuh ketat’ United -- Leeds, Manchester City dan kini Liverpool sepanjang 17 tahun kariernya dengan 600 aksi senior.

Tetapi bekas pemain antarabangsa England berusia 33 tahun itu pastinya gembira jika United dapat membantu Liverpool ketika pertembungan kedua-dua pasukan Manchester di Old Trafford pada awal pagi Khamis ini.

Kemenangan City membolehkan mereka memintas Liverpool dengan kelebihan satu mata dan berbaki tiga perlawanan. .

"Pertama kali dalam kehidupan saya,” kata Milner ketika ditanya mengenai sokongannya kepada United minggu ini.

"Tetapi saya tidak akan menyaksikan perlawanan itu. Mungkin agak membuang masa dari segi tenaga.”

Liverpool gagal menjuarai trofi domestik dalam era Liga Perdana dan kali terakhir muncul juara pada 1990 ketika menjulang trofi Divisyen Satu.

Tetapi mereka mengekalkan momentum untuk menamatkan kemarau itu dengan menewaskan Cardiff kelmarin dengan Milner menjaringkan penalti, jaringan ketujuhnya musim ini.

Liverpool kini mempunyai 88 mata tetapi belum cukup untuk membawa trofi Liga Perdana ke Anfield.

"Kami perlu menang baki perlawanan,” kata Milner. “Jika kami dapat menyempurnakannya tetapi masih tidak cukup maka anda perlu mengangkat kedua-dua tangan sambil mengucapkan tahniah kepada City.”

"Cukup kecewa jika gagal selepas hanya sekali tewas sepanjang musim. Apa yang boleh kami buat sekarang ialah menang baki perlawanan dan terus menekan City.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 8:24 AM