MILNER ditenangkan Forster selepas gagal sempurna sepakan penalti.
MILNER ditenangkan Forster selepas gagal sempurna sepakan penalti.
AFP

JUERGEN Klopp yang kecewa mengakui padang Anfield yang ‘kering’ perlu dipersalahkan atas keputusan seri 0-0 dengan Southampton yang menjejaskan cita-cita mereka ke Liga Juara-Juara.

Kegagalan James Milner menyempurnakan penalti pada babak kedua melengkapkan kekecewaan Liverpool apabila mereka gagal menjaringkan gol buat kali keempat ke atas Southampton musim ini.

Liverpool menyedari tiga kemenangan daripada baki tiga perlawanan akan mengesahkan empat tangga teratas dan Liga Juara-Juara musim depan menjadi milik mereka.

Namun, skuad Klopp gagal mempamerkan aksi terbaik ketika menentang Southampton yang perlu terhutang budi kepada Fraser Forster yang beraksi hebat di depan gawang.

Liverpool yang kini di tangga ketiga menjadikan kelayakan Liga Juara-Juara lebih sukar daripada apa yang mereka harapkan dan Klopp yang menghabiskan sebahagian besar babak kedua menjerit dari tepi garisan sukar menyembunyikan kekecewaannya.

Pengurus Reds itu menegaskan kualiti padang Anfield yang teruk memberi impak negatif ke atas aksi pasukannya.

“Tiada siapa yang mahu mendengarnya tapi padang benar-benar kering hari ini,” kata Klopp.

“Kami semburkan semua air dan selepas 15 minit, semuanya kering dan dengan hantaran yang banyak anda boleh katakan, ‘Mengapa mereka bermain sebegini?’

“Dalam perlawanan di tempat sendiri anda mempunyai kelebihan tapi kami tidak memanfaatkannya.

“Bukan sesuatu yang menyeronokkan apabila anda kehilangan mata di tempat sendiri tapi kini kami akan bermain di tempat lawan sebelum satu lagi perlawanan di tempat sendiri.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 4:18 AM