PELAJAR UiTM bersama peserta yang mengikuti Program 'Eh! Kau Putar Ek!' melalui inisiatif SULAM.
PELAJAR UiTM bersama peserta yang mengikuti Program 'Eh! Kau Putar Ek!' melalui inisiatif SULAM.
HM Digital

Seramai 25 pelajar semester dua Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menganjurkan Program 'Eh! Kau Putar Ek!' melalui inisiatif Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM).

Ia bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai undang-undang berkaitan isu fitnah kepada komuniti remaja.

Disertai 100 pelajar Kolej Vokasional Tanjung Puteri membabitkan pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima, program dianjurkan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai isu berkaitan fitnah dari aspek perundangan di Malaysia.

Bukan itu saja, program dianjur bagi mewujudkan kesedaran berkaitan pertuturan kebencian (hate speech).

Sepanjang program berlangsung, pelajar didedahkan konsep fitnah dan implikasinya menerusi pelbagai aktiviti dan ceramah disampaikan pensyarah dari Universitas Sultan Ageng Tirtayasa, Indonesia, Dr Nia Kania Kurniawati.

Penasihat program, Dr Mohd Yusof Zulkefli berkata, isu fitnah yang berterusan sememangnya menjadi masalah serius dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi dengan penularan berita dan maklumat palsu dalam era digital kini.

Katanya, ini boleh menyebabkan kekeliruan dan kesukaran bagi masyarakat untuk membezakan antara fitnah dan maklumat yang benar," katanya.

"Pentingnya memupuk literasi undang-undang sejak peringkat awal adalah satu langkah kritikal untuk mengembangkan kesedaran undang-undang dalam kalangan seluruh rakyat.

"Melalui kesedaran ini, kita dapat pastikan pematuhan terhadap undang-undang, mencipta masyarakat yang berpegang kepada nilai moral dan menghormati kewajiban sebagai komuniti yang bersatu padu," katanya.

Sementara itu, presiden program, Nur Amirah Syuhadah Mohd Zul Faisal berkata, menerusi program ini, pelajar dapat menyampaikan maklumat dan pengetahuan mengenai keburukan fitnah serta kesannya kepada komuniti.

"Selain itu, pelajar sendiri cakna mengenai masalah ini dan apakah tindakan boleh dilakukan jika mereka berada dalam situasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:43 AM