GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Lima pelajar di negeri ini ditahan atas kesalahan berkaitan dadah, tahun lalu, kata Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti polis, Persatuan Antidadah Malaysia (Pemadam), dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha mengesan penyalahgunaan dadah kalangan pelajar.

Pada masa yang sama katanya, kerjasama dengan agensi berkaitan juga bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai kesan penyalahgunaan dadah dan jenayah lain yang berkaitan.

"Sepanjang tahun lalu, lima pelajar dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah tindakan sudah diambil terhadap mereka.

"Tahun ini tiada sebarang kes dikesan membabitkan pelajar dan kita akan terus memantaunya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program 'Hari Pertama di Sekolah' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Lukas Aket.

Lukas berkata, kehadirannya pada program itu adalah bagi membantu meningkatkan kesedaran kalangan pelajar mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan aktiviti gangsterisme.

"Saya berharap pelajar akan terus berdisiplin sepanjang berada di sekolah dan mematuhi undang-undang serta peraturan sedia ada.

"Memang ramai pelajar hari ini yang terbabit dalam kegiatan jenayah seperti mencuri, samseng serta buli dan polis akan sentiasa memantau mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan pelajar supaya menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah atau gangsterisme bagi membolehkan tindakan segera diambil bagi membendungnya.

"Janganlah melepak di mana-mana selepas waktu sekolah sebaliknya pelajar harus terus balik ke rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 5:29 PM