TUGAS penting sebagai pendidik memerlukan guru meningkatkan pengetahuan mereka.
TUGAS penting sebagai pendidik memerlukan guru meningkatkan pengetahuan mereka.
Suliati Asri


DUNIA pendidikan kini semakin mencabar terutama pada era digital yang menyebabkan berlakunya anjakan pendidikan daripada konvensional sifatnya kepada digital.

Menurut Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, Datuk Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah, 72, jika dilihat, guru yang dilatih sebelum zaman digital ini melalui cabaran besar terutama berdepan anak didik yang dilatih dan dibesarkan dalam persekitaran serta landskap yang semuanya bercirikan internet dan digital.

Katanya cabaran itu boleh boleh dilihat di dua peringkat besar iaitu pertama di peringkat sekolah.

"Adakah sekolah bersedia atau tidak dari segi kemampuan fizikalnya ataupun tidak dengan kemudahan teknologi baharu ini?

"Kedua, adakah guru itu sendiri ada kecekapan, kemampuan dan kemahiran untuk benar-benar menguasai aplikasi serta alat teknologi baharu supaya mereka dapat menjadi pembimbing kepada pelajar atau kalau tidak,?" katanya.

Dengan era teknologi semakin canggih ini, Dr Adi berkata, guru kini perlu lebih ke hadapan atau sekurang-kurangnya mengetahui perkembangan dan menguasai kemahiran asas.

Menurutnya, guru yang ingin diterima sebagai profesional dan terus relevan perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan kemahirannya.

"Dalam apa juga profesion, kita perlu sentiasa selari dengan perubahan semasa. Profesion doktor contohnya, mereka perlu memahami dan menguasai penemuan baharu dalam bidang perubatan termasuk ubat-ubatan baharu di pasaran.

ERA digital membolehkan pelajar mencari maklumat hanya di hujung jari.
ERA digital membolehkan pelajar mencari maklumat hanya di hujung jari.

"Begitu juga dengan guru yang sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya.

"Dari pihak kementerian pula, mereka perlu sediakan keperluan yang cukup supaya guru-guru ada peluang menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran serta kecekapan peribadi mereka sebagai pembimbing dalam era digital ini," katanya.

Ditanya mengenai situasi semasa di mana dilihat guru-guru mudah putus asa dalam profesion ini, Dr Adi berkata, adalah sukar membuat andaian sedemikian (putus asa).

"Mengikut pengalaman menjadi pengarah di institut pendidikan guru selama tiga tahun, satu perkara yang saya lihat, kita tidak membentuk guru itu untuk menguasai kemahiran berdepan dengan cabaran keinsanan di luar.

"Kita juga kurang membentuk dan membimbing guru supaya dapat menguasai beberapa ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam cara bagaimana untuk menginsankan anak didik mereka nanti," katanya.

Perkara yang banyak ditekankan Dr Adi adalah bagaimana guru itu mengajar mata pelajaran tertentu dengan baik.

"Guru kini hanya fokus kepada subjek akademik tetapi bukan 'real subject' iaitu pelajar kita. Itu yang kita perlu bentuk.

"Oleh itu, guru di institusi perguruan harus dibentuk dan bimbing supaya mereka dapat membentuk anak didik menjadi insan.

"Institusi perguruan juga wajar berubah kerana keadaan sekarang menuntut mereka untuk tidak lagi berperanan sebagai penyampai ilmu pengetahuan utama tetapi mereka juga fasilitator, pemudah cara dan pembimbing," katanya.

GURU adalah insan yang turut banyak membentuk anak bangsa.
GURU adalah insan yang turut banyak membentuk anak bangsa.

Berpengalaman 33 tahun sebagai pendidik, Dr Adi berharap dan menasihatkan guru-guru supaya faham tanggungjawab mereka untuk mengajar pelajar menjadi insan bertanggungjawab kepada diri, ahli keluarga dan masyarakat yang dapat membangunkan negara.

"Oleh itu, guru perlu rujuk dan fahami secara mendalam intipati mesej tersurat dan tersirat dalam falsafah pendidikan kebangsaan kerana apa yang saya lihat falsafah kita itu cukup kuat dan jelas.

"Cuma, pengoperasian mungkin tidak dikaitkan secara langsung dengan amalan seharian pendidikan atau guru yang berada di sekolah.

"Ini termasuk profesional yang terdiri daripada guru dan sekarang menjadi pembuat polisi atau pegawai tidak harus lupa tujuan pendidikan untuk melahirkan dan membentuk insan supaya selari dengan aspirasi dipersetujui bersama seperti tercatat dalam falsafah pendidikan kebangsaan," katanya.

Mengulas sambutan Hari Guru bertemakan Guru Insani Pemangkin Masyarakat Madani, Dr Adi berkata, tema itu sangat bertepatan dengan keadaan kini.

Menurutnya, guru harus menyedari mengenai aspek keinsanan dalam proses mendidik generasi baru.

"Selamat menyambut Hari Guru dan sentiasalah sedar serta insaf bahawa kita adalah golongan profesional yang mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk generasi pada masa hadapan.

"Kalau kita kurang komited, ilmu pengetahuan dan kemahiran, masih tidak terlewat untuk kita meningkatkan kecekapan supaya keterampilan serta penampilan kita mewajarkan dipanggil sebagai cikgu, guru ataupun pendidik," katanya.

Sementara itu, seorang guru muda, Khairul Azfar Azahari, 30, berkata, menjadi guru di zaman teknologi ini mempunyai cabaran tersendiri.

GURU bukan saja pendidik anak bangsa tetapi juga pembentuk insan.
GURU bukan saja pendidik anak bangsa tetapi juga pembentuk insan.

Katanya, tidak dinafikan ada banyak kekangan terutama di sekolah luar bandar yang serba kekurangan dari segi kemudahan.

"Jika di bandar, pelajar didedahkan dengan pelbagai teknik pembelajaran serba moden namun di luar bandar agak perlahan dan masih menggunakan sesetengah kaedah lama.

"Namun bagi saya untuk menghadapi cabarannya ini, saya cuba kaitkan dengan pengalaman saya sebelum ini.

"Saya cuba memaksimakan pelbagai kaedah pengajaran moden menggunakan gajet yang ada," katanya.

Walaupun baharu dalam profesion pendidik ini namun Khairul juga pernah mahu berputus asa dalam bidang ini.

"Ketika kali pertama mengajar, memang terasa untuk berputus ada dan terkejut melihat situasi guru sekarang.

"Maklumlah, sebelum ini saya hanya baca berita mengenai bebanan kerja guru di media yang ternyata benar.

"Namun perasaan berputus asa itu terubat apabila melihat wajah pelajar yang bersemangat untuk belajar," katanya.

Ditanya apakah visi dan matlamat serta harapan dalam profesion ini, Khairul berkata, dia mahu menjadi guru contoh kepada yang lain dan mencungkil bakat pelajar menerusi pengalaman yang ada.

"Untuk matlamat pula, saya berhasrat untuk menceriakan dan mengharumkan nama sekolah yang saya berkhidmat.

"Saya berharap beban guru dapat dikurangkan agar proses pengajaran dapat ditumpukan dan sekolah luar bandar tidak diabaikan terutama dari segi keceriaan, baik pulih dan kemudahan fasiliti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 6:25 AM