JASA guru  tiada sempadan  merangkumi guru pelbagai bidang untuk didaptasi dalam kehidupan harian. - FOTO Samadi Ahmad
JASA guru tiada sempadan merangkumi guru pelbagai bidang untuk didaptasi dalam kehidupan harian. - FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


DALAM usaha membangkitkan semangat pendidik untuk terus ke arah memartabatkan profesion perguruan bagi pembinaan negara bangsa khususnya dalam kalangan wanita, Malaysia Influential Educators (MIE), Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) mengambil inisiatif memilih 59 guru dari pelbagai kategori untuk menerima anugerah.

Apatah lagi golongan guru ini antara hero belakang tabir MIE yang tidak didendang kerana sumbangan dan jasa mereka sebelum ini kurang ditonjolkan selain menjadi sebahagian penyumbang kepada pembangunan modal insan di negara.

Pengerusi MIE, Tiffany Tan Tian Yee berkata, MIE menghargai usaha warga pendidik di seluruh negara dengan penganjuran Majlis Penyampaian MIE 2023 dan pihaknya komited dalam usaha mendidik dan melindungi hak pengguna.

Menurutnya, sebelum ini banyak pihak hanya menghargai guru di peringkat sekolah namun sebenarnya masih terdapat guru dalam pelbagai kategori yang jasanya perlu diangkat dan dihargai antaranya seperti guru vokal, muzik, tarian, tadika, seni bela diri dan teknologi maklumat.

Katanya, melalui anugerah itu, MIE mengiktiraf golongan pendidik yang sentiasa dedikasi demi mendidik pemimpin masa hadapan negara dan jasa mereka akan direkodkan dalam sebuah buku untuk tatapan generasi akan datang.

"Pada kali ini seramai 102 guru dipilih untuk menerima anugerah MIE berdasarkan kisah paling berinspirasi dan 60 peratus terdiri dari wanita yang dipilih merangkumi kemampuan guru berkenaan meningkatkan prestasi pelajar menggunakan kaedah pengajaran berinovasi," katanya.

Majlis penyampaian Anugerah MIE 2023 itu berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya yang disempurnakan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia, Abdul Razak Junaidi.

Guru seni bela diri Capoeira, Dr Fadzlina Abdul Aziz, 40, dari Dengkil, Selangor berkata, beliau teruja menerima anugerah julung kali itu sepanjang terbabit sebagai pengajar seni mempertahankan diri yang diceburinya sejak 2012.

PENGARAH Bahagian Khidmat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia,Abdul Razak Junaidi (tengah) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada Majlis  Anugerah MIE 2023  di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya.  - FOTO Samadi Ahmad
PENGARAH Bahagian Khidmat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia,Abdul Razak Junaidi (tengah) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah MIE 2023 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya. - FOTO Samadi Ahmad

PAKAR kanak-kanak yang juga guru seni bela diri, Dr Fadzlina Abdul Aziz.  - FOTO Samadi Ahmad
PAKAR kanak-kanak yang juga guru seni bela diri, Dr Fadzlina Abdul Aziz. - FOTO Samadi Ahmad

Beliau yang juga doktor pakar kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Malaya

(PPUM) itu turut mempunyai studio sendiri yang diusahakan bersama suami, Braulio Cavalheiro, 45, dari Brazil dan kini mempunyai lebih 30 pelajar.

Katanya, anugerah ini sangat unik kerana sebelum ini hanya golongan guru di peringkat sekolah sahaja ditonjolkan berbanding guru-guru lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing- masing.

"Selain dijadikan sebagai motivasi untuk terus aktif, anugerah ini juga adalah sebagai pengiktirafan kepada semua guru seni bela diri di seluruh negara," katanya.

Bagi guru pendidikan awal kanak-kanak Tadika Rumah Juara Kecil, Petaling Jaya, Selangor Amera Arbaain, 37, berkata beliau berterima kasih kepada penyelianya kerana mencalonkan dirinya sebagai

salah seorang penerima.

Beliau yang menceburi bidang pendidikan itu sejak lima tahun lalu berkata, anugerah itu menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan walaupun ia berhadapan dengan pelbagai kerenah kanak-kanak yang perlu ditempuhi dengan kesabaran.

Ibu kepada tiga cahaya mata lelaki berusia lima, tujuh dan 11 tahun itu berkata, sebagai guru kita perlu menerapkan nilai kasih sayang dan kreatif supaya murid berminat untuk hadir ke tadika.

"Sebagai pendidik tidak kira dari bidang apa sekali pun kita harus memberi perkhidmatan terbaik dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dan guru adalah 'jurutera' yang membentuk pelajar untuk menjadi apa sahaja yang mereka kehendaki di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 7:00 AM