GURU tidak putus memberi pendidikan terbaik kepada pelajar.
GURU tidak putus memberi pendidikan terbaik kepada pelajar.
Fazurawati Che Lah

Tanggal 16 Mei pasti memberi 1,001 makna kepada warga pendidik di seluruh negara. Baik guru yang berkhidmat di ibu kota atau pedalaman, semua merasai ketibaan tarikh keramat itu sejak 1956.

Berbaki hanya dua hari lagi untuk pendidik di negara ini meraikan hari bersejarah itu, sudah pasti banyak ucapan bakal dizahirkan oleh pelajar kepada guru mereka sama ada melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp hingga ke laman sosial Twitter dan Facebook.

Sambutan ini juga tidak terbatas kepada guru di sekolah rendah atau menengah tetapi merang­kumi mereka yang bergelar pendidik termasuk pensyarah atau jurulatih yang tidak jemu mencurahkan ilmu.

Umum sedia maklum, untuk cemerlang dalam pelajaran, insan yang paling bertanggungjawab memastikan pelajar mendapat ilmu ialah guru.

Mereka juga ibarat ibu bapa kedua kepada kita ketika di sekolah, universiti atau pusat latihan kerana banyak masa dihabiskan ketika di sana berbanding di rumah.

Tapi kini, kebanyakan ibu bapa pula menyerahkan tanggungjawab membentuk anak sama ada dari sudut moral atau sahsiah diri kepada guru kerana beranggapan pendidik mempunyai lebih banyak ilmu.

Salah faham ini juga menimbulkan budaya kurang positif kerana segelintir ibu bapa terus melepaskan tang­gungjawab itu kepada guru walaupun mereka sedar cabaran yang dihadapi guru kerana perlu memantau prestasi pelajaran, perkembangan sosial dan tingkah laku ramai murid pada satu masa.

Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 24, Shah Alam, Selangor, Ros Aini Che Man berkata, proses mendidik anak sebenarnya agak sulit, tapi dengan adanya guru yang berkualiti, berinovasi dan berani menyahut cabaran dengan matlamat yang disediakan kerajaan, guru boleh menyahut cabaran itu.

Katanya, asas pendidikan sebenarnya bermula di ruma. Sekolah hanya menjadi institusi yang menyokong perkembangan proses pembelajaran dan pengajaran anak.

“Jika satu pihak saja yang berusaha dan pihak lain ambil ringan, kita tidak dapat keseimbangan dalam menjadikan murid sebagai pemimpin dan pemikir yang bagus. Agak sukar untuk mencapai matlamat ini jika tugas mendidik hanya dilakukan pihak sekolah.

“Dalam melahirkan anak (pelajar) yang berdaya saing dan berkebolehan, ibu dan guru perlu saling membantu. Sebab masa yang digunakan murid di sekolah hanyalah enam jam, tapi masa di rumah pula lebih 50 peratus,” katanya ketika ditemui.

UCAPAN dan hadiah sebagai tanda penghargaan murid kepada guru.
UCAPAN dan hadiah sebagai tanda penghargaan murid kepada guru.

Jelasnya lagi, ibu bapa adalah peranan sebenar dalam mendidik anak, di sekolah pula guru membantu menggarapkan lagi supaya anak itu menjadi individu yang disantuni, diteladani seterusnya ‘menjadi’.

“Jika tiada peranan daripada kedua-dua pihak (ibu bapa dan guru), saya risau matlamat yang kita impikan tidak tercapai,” katanya.

Ros Aini yang berpengalaman selama 36 tahun dalam bidang pendidikan menjelaskan lagi, biarpun pelajar sekarang hidup dalam era digital dan segala maklumat diperoleh di hujung jari, ia belum berupaya menepis peranan guru sebagai rujukan ilmu.

“Peranan guru masih ada. Walaupun murid ada medium lain untuk selesaikan masalah pendidikan dan pembelajaran mereka, tapi menuntut ilmu daripada peralatan adalah berbeza berbanding berguru dengan manusia.

“Alatan hanya merangsang murid untuk membina kemahiran berfikir dan membina ilmu manakala guru pula berperanan menokok tambah berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya.

“Pengalaman guru tidak sama dengan Internet kerana ia berdasarkan ilmu yang dikaji, tapi guru mengalami dan tahu untuk menggarapkan lagi pe­ngetahuan sedia ada. Malah guru juga berperanan untuk membezakan apa yang baik dan buruk,” katanya.

Katanya, sebagai pelajar, fokus pendidikan ialah untuk mencari ilmu dan guru pula membantu mengukuhkan lagi ilmu yang diperoleh.

Sementara itu, Tokoh Guru Daerah Petaling Utama, A Talib Ismail berkata, bersesuaian dengan tema Hari Guru 2018 iaitu Guru Pemacu Transformasi Pendidikan menjulang guru sebagai ejen penting dalam usaha untuk merealisasikan agenda perubahan dalam bidang pendidikan.

A TALIB (kanan) ketika menerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Petaling Utama.
A TALIB (kanan) ketika menerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Petaling Utama.

“Guru berperanan untuk menterjemahkan segala aspirasi baru dalam bidang pendidikan supaya menjadi realiti.

“Aspirasi akan tinggal aspirasi tanpa usaha guru. Guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa.

“Kerjaya guru kini sudah memasuki dimensi baru. Dulu guru dianggap hanya sebagai penyampai ilmu semata-mata,” katanya.

Hari ini, tugas guru bukan hanya menyediakan murid menghadapi peperiksaan, tetapi guru dipertanggungjawabkan untuk menjadi tulang belakang murid menghadapi dunia yang semakin mencabar.

“Tugas guru bukan sekadar memberikan pengetahuan, tetapi melahirkan modal insan yang berkemahiran memimpin, mahir berfikir secara kritis dan inovatif, beretika dan berakhlak mulia, berkebolehan dalam dwibahasa, mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang tinggi,” katanya.

Bagi Guru Besar SK Seksyen Enam, Shah Alam, Selangor, Ani Meh berkata, jurang guru dan ibu bapa perlu dirapatkan supaya tiada salah faham antara kedua-dua pihak dalam mendidik anak.

“Jika dulu pelajar yang malas boleh dihukum rotan (untuk mendidiknya), kini ia dilihat tidak lagi sesuai kerana dianggap mencederakan pelajar.

“Jadi guru perlu bijak dan mengambil pendekatan lain. Benar, kalau dulu kerana dirotan itulah kita menjadi ‘orang’, tetapi kini suasana jauh berbeza. Bagi memastikan pelajar tidak bermasalah di sekolah dan tidak mahu menimbulkan masalah, hubungan ibu bapa dan guru harus dirapatkan,” katanya.

SAMBUTAN Hari Guru bagi menghargai jasa pendidik.
SAMBUTAN Hari Guru bagi menghargai jasa pendidik.

Senarai tema Hari Guru Malaysia

• 2017/ 2018 - Guru Pemacu Transformasi Pendidikan

• 2016 - Guru Pembina Negara Bangsa

• 2015 - Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak

• 2014 - Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi

• 2013 - Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda

• 2012 - Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

• 2011 - Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

• 2009/2010 - Guru Pembina Negara Bangsa

• 2008 - Guru Cemerlang Negara Terbilang

• 2007 - Guru Penjana Modal Insan Gemilang

• 2006 - Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

• 2004 - Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

• 2002/2003 - Guru Berkualiti Aspirasi Negara

• 2001 - Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama

• 2000 - Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan

• 1999 - Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

• 1998 - Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

• 1987 - Guru Bestari Sekolah Bestari

• 1996 - Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

• 1995 - Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan

• 1993/1994 - Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

• 1992 - Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

• 1991 - Ke Arah Pendidikan Cemerlang

• 1990 - Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

• 1989 - Guru Pembina Budaya Ilmu

• 1988 - Guru Pengasas Budaya Membaca

• 1987 - Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

• 1986 - Pendidikan Teras Nasionalisme

• 1985 - Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

• 1984 - Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

• 1983 - Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

• 1982 - Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu

• 1981 - Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

• 1980 - Pendidikan Teras Perpaduan Negara

• 1979 - Murid Sejahtera Negara Jaya

• 1978 - Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

• 1977 - Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

• 1976 - Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan

• 1975 - Guru dan Pembangunan Negara

• 1974 - Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi

• 1973 - Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

• 1972 - Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 2:20 PM