Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Arau: Lebih 50 peratus murid dan pelajar di semua sekolah di Perlis direkodkan hadir pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas enam bulan ditutup berikutan peningkatan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Murid dan pelajar turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pengambilan suhu oleh guru.

Selain itu juga, polis turut diletakkan di sekolah bagi memantau sebarang keadaan berkenaan kesihatan murid dan pelajar ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Perlis Rozieana Ahmad berkata, murid dan pelajar selain daripada kelas berkenaan masih perlu meneruskan pembelajaran menerusi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Kehadiran pada hari ini sangat memberangsangkan dan lebih 50 peratus murid dan pelajar hadir ke sekolah untuk menghadapi sesi pembelajaran secara bersemuka di mana mereka semua dilihat begitu seronok dan bersemangat untuk memulakan semula persekolahan yang sudah lama tertangguh akibat pandemik Covid-19 ini.

"Dalam masa sama juga, pihak sekolah juga masih memberikan kelonggaran kepada mereka (murid dan pelajar) yang tidak hadir ke sekolah pada hari ini untuk mengambil masa terlebih dahulu melihat keadaan semasa sebelum hadir semula ke sekolah," katanya selepas tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Min, Pauh, di sini, hari ini.

Terdahulu, Roziena yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh, SJKC Sin Min, Pauh dan SJKC Hwa Aik, Arau.

Katanya, 8,297 orang pelajar terbabit dalam pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka di Perlis.

"Pecahannya adalah 2,654 murid pra-sekolah, 3,570 pelajar pula adalan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 1,078 orang pelajar adalah calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan hanya 39 orang adalah calon yang akan menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Selain itu, 956 murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah pula adalah mereka yang berada dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)," katanya.

GURU melakukan pemeriksaan suhu terhadap murid yang hadir. FOTO Aizat Sharif
GURU melakukan pemeriksaan suhu terhadap murid yang hadir. FOTO Aizat Sharif

Dalam perkembangan lain, berhubungan 23 guru yang enggan divaksin di negeri berkenaan, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis masih lagi memberi peluang kepada guru terbabit untuk mengambil vaksin bagi membolehkan mereka dapat mengajar secara bersemuka dengan murid dan pelajar di sekolah di negeri itu.

Sementara itu, rata-rata ibu bapa dan penjaga yang ditemui menzahirkan kesyukuran dengan pembukaan semula sesi persekolahan di negeri itu kerana sesi pembelajaran secara bersemuka adalah lebih praktikal dan mudah difahami berbanding PDPR.

Seorang pengurus, Munir Abdul Rahman, 36 dari Padang Siding berkata, dua anaknya berusia lima dan enam tahun sudah tidak sabar untuk belajar semula di kelas pra-sekolah SJKC Sin Min, Pauh itu.

"Sebelum ini, anak saya hanya belajar menerusi PDPR sahaja namun dengan kehadiran secara bersemuka ini diharapkan mereka akan lebih peka dan dapat belajar secara efektif sama sebelum sesi persekolahan ditunda.

"Malah, anak saya ini setiap hari akan bertanya bila sekolah akan dibuka kerana mereka tidak sabar untuk bertemu rakan dan guru dan belajar semula di sekolah seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 12:27 PM