Omar Ahmad


Batu Pahat: "Anak saya sedih dan tiada mood selepas dimaklumkan perlu belajar secara sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," kata Mohd Saiful Nizam Abd Manan, 37.

Dia memberikan reaksi itu ketika menceritakan telatah anaknya, Nur Sofea Qaisara Mohd Saiful Nizam, 8, pada hari pertama sesi persekolahan 2023/2024 bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pandan, Parit Raja di sini, hari ini.

Sebahagian murid di SK Seri Pandan terpaksa mengadakan sesi persekolahan secara PdPR berikutan sekolah terbabit dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir.

Mohd Saiful Nizam berkata, seawal jam 6.30 pagi dia sudah ke sekolah mengambil bahan PdPR untuk Nur Sofea Qaisara dan adiknya Muhammad Fayyadh Qazriel, 7.

"Sekolah ini masih dijadikan PPS, jadi saya difahamkan cara pembelajaran sedikit berbeza, anak sulong saya (Nur Erynna Qaleesya, 11) di Tahun Lima belajar di sekolah, tetapi hadir dengan pakaian biasa dan berselipar.

"Apabila saya maklumkan anak kedua (Nur Sofea Qaisara) yang dia tidak akan ke sekolah dan belajar secara PdPR, dia terus tiada mood dan sedih, tetapi saya pujuk dia mengatakan sekiranya keadaan pulih, dia boleh bertemu rakan ke sekolah nanti," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Harnizam Ardani, 38, berkata biarpun masih ditempatkan di PPS, anak sulungnya Nur Amani Batrisya, 8, tetap bersemangat untuk bangun awal memulakan pembelajaran.

Katanya, dia berharap cuaca baik berterusan dan keadaan banjir kembali pulih.

"Anak memang tahu dia akan ke sekolah pagi ini walaupun tanpa pakaian seragam sekolah, malah rata-rata murid hadir dengan pakaian biasa tetapi sopan," katanya.

Nur Sofea bersama adiknya membuat modul yang disediakan guru bagi pelajar yang terjejas akibat banjir untuk menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumahnya di Parit Karjo, Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Nur Sofea bersama adiknya membuat modul yang disediakan guru bagi pelajar yang terjejas akibat banjir untuk menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumahnya di Parit Karjo, Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 1:23 PM