PROF Dr Haim Hilman  (kanan) menunjukkan poster buku yang boleh diperoleh secara dalam talian.
PROF Dr Haim Hilman (kanan) menunjukkan poster buku yang boleh diperoleh secara dalam talian.

Karnival Buku Ilmiah Dalam Talian 4.0 (KABI 4.0) anjuran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) kembali lagi dengan tawaran harga lebih murah dan pelbagai pilihan buku ilmiah.

Ia diadakan hingga 15 November ini menerusi platform jualan dalam talian Shopee.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana MAPIM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, tahun ini adalah kali keempat KABI dianjurkan yang memfokuskan kepada pelajar pengajian tinggi yang ingin mendapatkan buku terbitan penerbit ilmiah secara pembelian dalam talian.

Menurutnya, lebih 20,000 judul buku ditawarkan dalam KABI 4.0 dengan baucar pembelian, selain harga buku serendah RM11 ditawarkan penerbit yang mengambil bahagian.

Katanya, KABI menjadikan laman Facebook rasmi MAPIM sebagai platform promosi dan aktiviti dalam talian, selain melaksanakan kempen besar-besaran untuk setiap laman e-dagang dan 'marketplace' ahli MAPIM yang mengambil bahagian termasuk pihak swasta.

"Menerusi penganjuran KABI 4.0 selama sebulan ini, kita menyasarkan jualan sebanyak RM1 juta akan diperoleh, ditambah pula dengan kemuncak KABI 4.0 mulai 26 Oktober lalu hingga 11 November ini yang dikenali MAPIM X Shopee yang mana pembeli boleh mendapatkan buku ilmiah menerusi platform Shopee," katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Katanya, Republika Merah iaitu satu platform bual bicara buku, sesi bersama penulis dan sebagainya akan dilaksanakan secara dalam talian melalui Facebook MAPIM yang menjadi salah satu pengisian KABI 4.0 kali ini.

"Saya mengalu-alukan semua peminat buku ilmiah dan pelbagai genre lain untuk menyertai KABI 4.0 ini dan juga kemuncak karnival MAPIM X Shopee bagi mendapatkan bahan bacaan kegemaran pada harga yang rendah," katanya.

MAPIM adalah sebuah gabungan penerbit-penerbit ilmiah dari universiti awam di Malaysia dan juga penerbit institusi penyelidikan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 6:38 AM