IDRIS (empat kanan) bertanyakan sesuatu kepada penerima di Majlis Anugerah MAPIM-KPT 2016 di Duyong Marina & Resort Terengganu.
IDRIS (empat kanan) bertanyakan sesuatu kepada penerima di Majlis Anugerah MAPIM-KPT 2016 di Duyong Marina & Resort Terengganu.
Helmy Abd Rahman


Kuala Nerus: Universiti awam (UA) di negara ini mampu menjana RM7.17 bilion pulangan pelaburan penyelidikan iaitu 28.5 peratus daripada RM5.58 bilion yang dilaburkan kerajaan untuk tujuan penyelidikan sejak 2007 hingga 2015.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, hasil pelaburan berkenaan juga membawa kepada jumlah penerbitan buku ilmiah yang tinggi sehingga membolehkan negara ini mendahului Singapura dan Thailand.

“Daripada RM5.58 bilion yang dilaburkan kerajaan untuk tujuan penyelidikan bagi tempoh lapan tahun, universiti kita berjaya menjana RM7.17 bilion pulangan pelaburan penyelidikan termasuk hasil jualan buku ilmiah.

“Situasi penerbitan juga meningkat sekali gus membolehkan penyelidik kita diiktiraf antara kelompok satu peratus yang terbaik dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2016, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, pada masa ini UA dipertanggungjawabkan untuk menjana pendapatan sendiri dan penjualan buku di peringkat nasional serta global boleh menjadi antara sumber pendapatan yang sesuai dipraktikkan.

“Baru-baru ini, penyertaan ahli MAPIM di ‘Riyadh International Book Fair 2017’ membuka ruang baru kepada ahli MAPIM memasarkan bahan terbitan Malaysia ke pasaran Asia Barat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, lulusan Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) lebih mudah mendapat kerja sebaik tamat pengajian berbanding graduan institusi pengajian tinggi yang memilih bidang akademik.

“Berdasarkan statistik tahun lalu, perkembangan pasaran lulusan TVET antara tujuh hingga lapan peratus setahun mengatasi perkembangan aliran akademik iaitu hanya dua hingga tiga peratus.

“Kebolehpasaran pelajar kolej komuniti ialah 97 peratus, penuntut politeknik pula 88 peratus manakala universiti biasa hanya 76 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 7:54 AM