Idris   (tengah) menyampaikan Anugerah   MAPIM-KPT 2015 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.
Idris (tengah) menyampaikan Anugerah MAPIM-KPT 2015 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Putrajaya: Industri, penerbit buku dan ahli akademik tempatan perlu lebih bersedia untuk memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menerbitkan lebih banyak bahan ilmiah versi digital di pasaran tempatan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perkembangan trend penggunaan buku elektronik atau e-Book semakin berkembang pesat di negara ini justeru, Malaysia perlu memenuhi trend berkenaan.

Beliau berkata, skop pembacaan kini lebih meluas dengan adanya kemudahan peranti elektronik malah, pembaca masa kini lebih suka mengakses maklumat menggunakan peranti elektronik berbanding menyelak buku fizikal.

“Penggunaan e-Book di Malaysia ketika ini dianggarkan melebihi dua peratus dan dijangka akan berkembang lebih pesat lagi pada tahun yang akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2015 di sini, semalam.

Katanya, beliau turut menyeru ahli akademik supaya menghasilkan lebih banyak bahan penerbitan ilmiah mengikut kepakaran masing-masing.

Idris berkata, setakat ini, negara mempunyai seramai 2,579 profesor di seluruh negara dan jika 50 peratus daripada mereka menghasilkan buku ilmiah setiap tahun, negara akan mempunyai kira-kira 1,290 judul buku setiap tahun.

Terdahulu, Idris menyempurnakan Anugerah MAPIM-KPT 2015 membabitkan enam kategori dipertandingkan tahun ini termasuk Anugerah Buku Ilmiah Terbaik dimenangi penerbit Universiti Malaya (UM), Anugerah Makalah Jurnal Terbaik (Dewan Bahasa dan Pustaka-DBP) dan Anugerah Editor Naskhah Terbaik (Universiti Sains Malaysia).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 10:20 AM