DR Noraini (tengah) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki (kiri) beramah mesra dengan isteri Yazirruddin, Halimah Muhabah sebelum sesi Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful SSPN-i.
DR Noraini (tengah) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki (kiri) beramah mesra dengan isteri Yazirruddin, Halimah Muhabah sebelum sesi Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful SSPN-i.
HM Digital

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan manfaat perlindungan takaful kepada seorang pendeposit SSPN-i di kediamannya di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.

Penyerahan disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. Pendeposit SSPN-i itu ialah Yazirruddin Md Som, 60, yang bekerja sebagai Pegawai Audit Dalam namun mengalami keilatan kekal menyeluruh akibat darah tinggi pada Jun 2017 lalu.

Beliau adalah pendeposit SSPN-i yang membuka akaun pada 29 Disember 2011 dan 30 Oktober 2015 untuk dua orang anaknya.

Ketika disahkan mengalami keilatan kekal menyeluruh, Yazirruddin mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkan dirinya menerima manfaat perlindungan takaful bersamaan dengan jumlah simpanan iaitu RM24,922.42.

Inilah keistimewaan SSPN-i yang memberikan perlindungan takaful percuma secara 'Ringgit ke Ringgit' buat pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian/ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

Selain itu, khairat kematian berjumlah RM2,000 juga diberikan sekiranya berlaku kematian atas pendeposit dan RM500 atas kematian penerima manfaat (anak).

Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat mengembalikan kesihatan seorang bapa, namun dengan manfaat yang diterima ini dapat membantu meringankan beban kewangan untuk menampung kelangsungan hidup Yazirruddin sekeluarga.

Yazirruddin membuat pilihan yang tepat dengan menyimpan di dalam SSPN-i bagi memastikan masa depan keluarga terus terjamin.

SSPN-i turut menawarkan keistimewaan lain kepada pendeposit SSPN-i seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, geran sepadan dan patuh syariah serta dijamin kerajaan.

Secara keseluruhan sehingga Februari lalu sebanyak 4.86 juta akaun SSPN dibuka dengan deposit berjumlah RM8.28 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 6:18 AM