TANAMAN terung kaedah fertigasi.
TANAMAN terung kaedah fertigasi.
Hidayatidayu Razali


PENGGUNAAN kaedah fertigasi bukan sahaja memudahkan kerja menjaga anak pokok, malah dapat mengurangkan risiko lain termasuk ditenggelami air.

Kaedah itu juga dapat menghasilkan anak pokok yang baik dan mengeluarkan hasil lumayan untuk menampung pasaran.

Menurut Muhamed Setapa, 46, dia bersama rakannya, Zainudin Ramli, 45, pertama kali menggunakan kaedah fertigasi selepas berpengalaman menjadi petani lebih 20 tahun yang lalu.

Katanya, walaupun modal untuk menggunakan kaedah itu sangat tinggi namun dia dan Zainudin mahu mencuba kaedah baharu itu selepas melihat kejayaan rakan-rakan yang lain.

"Sebelum ini saya usahakan pelbagai tanaman termasuk terung, timun dan tembikai di kawasan lain sebelum mendapat tanah ini yang diusahakan bawah bimbingan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

"Buat permulaan kami keluarkan modal RM30,000 untuk membina tiang, saluran paip dan tempat gantung 'polibag.' Kami tanam 1,152 pokok terung manakala untuk 510 pokok timun batang yang turut menggunakan kaedah sama dengan kos RM20,000 diberi oleh IADA.

"Saya juga menanam 510 pokok lada solok menggunakan kaedah tradisional. Ketiga-tiga tanaman ini untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya yang mengusahakan tanaman di Jelawat, Bachok.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, semua tanaman diusahakan di atas tanah milik IADA seluas 1.2 hektar.

"Saya dan rakan mendapat bimbingan IADA dan kami diberi tanggungjawab mengusahakan tanaman ini sehingga ia berjaya.

"Alhamdulillah, hasil tanaman diusahakan sejak dua bulan lalu mula membuahkan hasil apabila tanaman terung sudah mula dikutip dan sedia untuk dipasarkan," katanya.

Katanya, hasil dikutip akan dihantar kepada pemborong di sekitar Jelawat dan juga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bahru, Kelantan.

Menurutnya, pemborong sedia mengambilnya kerana terung mendapat permintaan tinggi memandangkan hasil sayur dari petani tempatan masih kurang.

"Harga pasaran sayur-sayuran ini juga stabil kerana bagi harga borong ia dijual paling kurang RM3 sekilogram manakala harga runcit sekitar RM10 sekilogram.

"Walaupun kos membina kaedah fertigasi ini tinggi namun ia berbaloi kerana hasil tanaman ini banyak.

"Bagi terung ia boleh dikutip dalam tempoh paling kurang sehingga dua bulan dan jangkaan permulaan hasil dianggarkan adalah tiga kilogram (kg) sepokok dengan hasil keseluruhan adalah tiga tan," katanya.

Jelasnya, kaedah fertigasi itu dipelajarinya daripada IADA dan juga rakan lain yang sudah lama mengusahakan tanaman menggunakan kaedah itu.

"Kami bersyukur kerana ia membuahkan hasil dan akan meneruskan kaedah ini untuk tanaman lain pada masa akan datang," katanya.

Muhamed berkata, bagi memastikan tanaman subur dan tidak terdedah dengan penyakit, dia akan memastikan baja digunakan mencukupi iaitu baja foliar untuk kesuburan.

Katanya, dia akan menyiram air baja setiap hari dan menyiram pokok tiga kali sehari bagi memastikan anak pokok hidup subur serta mengeluarkan hasil dalam tempoh yang ditetapkan.

"Saya juga akan meracun pokok paling kurang seminggu sekali untuk mengelakkan penyakit dan serangan makhluk perosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 6:55 AM