BERBUDI kepada tanah, hasil tanaman terung yang diusahakan Zul.
BERBUDI kepada tanah, hasil tanaman terung yang diusahakan Zul.
Hidayatidayu Razali


PASARAN terung yang luas dan mendapat permintaan yang tinggi memberi dorongan kepada seorang peniaga untuk mengusahakan tanaman itu sejak tahun lalu.

Zul Wahab, 52, berkata, dia mengambil keputusan menanam terung di atas tanah miliknya seluas 1.6 hektar di Kampung Che Latiff, Kampung Badang, Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum ini, dia mengusahakan tanaman tembikai di atas tanah berkenaan sebelum beralih kepada tanaman terung kerana harganya lebih tinggi selain permintaan meluas dalam kalangan pemborong dan pembeli.

"Saya mula tanam terung akhir tahun lalu dan hanya dalam tempoh lebih kurang sebulan, pokok mula mengeluarkan hasil dan boleh dikutip untuk dijual kepada pemborong serta pembeli.

"Kini, terdapat lebih 7,000 pokok terung ditanam dan hasilnya dapat menampung permintaan pasaran di sekitar negeri ini terutama Kota Bharu," katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, pasaran utama adalah pemborong di sekitar daerah berkenaan yang memerlukan kira-kira 10 tan terung sebulan.

HANYA buah yang bermutu dijual kepada pemborong.
HANYA buah yang bermutu dijual kepada pemborong.

Kata Zul, apabila pokok terung mula mengeluarkan hasil pertama, ia berterusan mengeluarkan hasil dalam tempoh empat hingga lima bulan bergantung kepada penjagaan pokok.

"Pemborong sayur boleh mendapatkan bekalan yang konsisten sekali gus dapat memenuhi permintaan daripada pembeli.

"Alhamdulillah, hasil tanaman terung itu sehingga kini sudah mengeluarkan hasil sebanyak 15 tan," katanya.

Tambahnya, tanaman terung antara tanaman yang memberi pulangan menguntungkan selain kurang berisiko dan penghasilannya juga tinggi untuk tempoh empat hingga lima bulan.

PEKERJA, Abdul Rahman Sulaiman, memasukkan  terung  untuk dipeketkan sebelum dihantar kepada pemborong.
PEKERJA, Abdul Rahman Sulaiman, memasukkan terung untuk dipeketkan sebelum dihantar kepada pemborong.

Zul berkata, penanaman terung juga mudah dan penjagaannya tidak serumit mana selain dia berpegang kepada formula tanaman termasuk menggunakan baja khas.

"Hasil terung pertama boleh dipetik dalam tempoh kira-kira 45 hari sahaja dan setiap hari ia boleh dituai kerana terung terus mengeluarkan hasil sepanjang empat hingga lima bulan.

"Untuk harga ladang kepada pemborong ketika ini, terung boleh dijual RM5 bagi sekilogram," katanya yang menyasarkan untuk mengeluarkan hasil melebihi 10 kilogram (kg) bagi setiap pokok.

Dalam pada itu, pada musim hujan, terdapat kawalan daripada segi pemberian baja yang disulam dengan air bagi memastikan tanaman mendapat keperluan nutrien mencukupi.

LADANG terung yang diusahakan.
LADANG terung yang diusahakan.

Zul berkata, dia menggunakan kaedah tanaman sistem giliran yang jelas memberi kelebihan kawalan lebih baik daripada risiko penyakit dan serangga perosak.

Katanya, ancaman utama tanaman terung adalah lalat buah, kutu trip dan ulat pengorek yang akan menyebabkan pokok menjadi kuning serta merosakkan buah.

"Untuk mengelakkan pokok rosak, pokok yang kurang sihat (menjadi kuning) akan dibuang bagi mengelakkan ia berjangkit kepada pokok lain selain berisiko menjejaskan kualiti buah terung.

"Racun juga perlu digunakan bagi menghalang serangan serangga perosak dan penyakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 6:30 AM