HASIL timun yang berkualiti.
HASIL timun yang berkualiti.
Hidayatidayu Razali


KEPUTUSAN untuk berbudi pada tanah dengan menanam pelbagai jenis tanaman termasuk timun batang memberikan hasil lumayan kepada lelaki ini.

Tanaman timun batang bukan sahaja mudah dijaga, malah menghasilkan buah dalam masa yang singkat iaitu dalam tempoh sebulan sahaja.

Sayur itu juga mendapat permintaan yang tinggi kerana ia banyak digunakan untuk pelbagai masakan termasuk dalca, dimakan bersama nasi lemak, dibuat ulam-ulaman dan sebagainya.

Faktor itu mendorong Kamarulzaman Ab Hamid, 55, menanam sebanyak 2,700 pokok timun batang secara fertigasi gantung di atas tanah seluas 0.8 hektar di di Kampung Gong Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.

Kata Kamarulzaman, teknik fertigasi gantung itu tidak memerlukan ruang tanah yang luas kerana ia berada dalam keadaan tergantung dan ia sangat menjimatkan ruang.

Katanya, kaedah penanaman itu juga boleh menggunakan tanah semaksimum mungkin apabila dapat menanam pokok sayur lain di bawahnya.

"Bagi tanaman timun batang, saya usahakan bersama empat pekerja yang membantu menggemburkan tanah, menanam pokok, menjaga tanaman dan mengutip hasil yang sedia untuk dipasarkan.

"Tanaman ini saya tanam secara teknik bergilir dengan tanaman lain termasuk lada solok, cili merah, terung dan beberapa tanaman lain.

"Teknik ini digunakan untuk memastikan tanah di kawasan itu sentiasa subur seterusnya dapat menghasilkan sayur-sayuran yang berkualiti dalam masa yang ditetapkan," katanya kepada Xpresi.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, tanaman berkenaan diusahakan di atas tanah yang disewa daripada penduduk kampung di tiga lokasi.

KAMARULZAMAN mengutip timun batang.
KAMARULZAMAN mengutip timun batang.

Dia bersyukur kerana tanaman timun batang mengeluarkan hasil yang banyak iaitu kira-kira 19 tan sebulan, sekali gus memberi pendapatan yang memuaskan.

"Hasil tanaman itu dijual kepada pemborong di sekitar Pasir Puteh dan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong serta penduduk sekitar.

"Alhamdulillah, tanaman ini mendapat sambutan dan mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk," katanya.

Suami kepada Wan Marini Wan Hussin, 51, itu berkata, timun batang adalah tanaman yang mudah untuk dijaga dan dapat mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat iaitu sebulan sahaja serta memberi pulangan modal dan keuntungan yang cepat.

"Untuk langkah pertama, saya akan menyemai anak benih sendiri dan dalam tempoh seminggu ia sudah tumbuh sebelum dipindahkan ke dalam polibeg di kebun.

"Selepas dipindahkan, saya dan pembantu akan menjaga pokok ini apabila perlu menyiramnya dengan cukup bagi mengelakkan pokok kering. Justeru, saya menyiram pokok sebanyak 10 kali sehari dan tempoh siraman pula antara empat hingga lima minit.

"Untuk siraman ini amat mudah kerana saya menetapkan masa dan menggunakan kaedah sistem automatik," katanya yang turut menyiram air baja bagi memastikan pokok sentiasa subur.

Menurutnya, pada minggu keempat pokok sudah mengeluarkan hasil yang boleh dituai dan siraman pula perlu antara dua hingga tiga kali sehari serta bergantung kepada keadaan cuaca.

Katanya, bagi mengelakkan penyakit terutama daun menjadi kuning, dia juga akan meracun anak pokok dengan menggunakan racun kimia serta semburan racun kulat.

"Racun kulat ini penting dibuat sejak dari anak pokok lagi untuk mencegah penyakit ke atas tanaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 6:30 AM