PUASA perlu dilaksanakan dengan penuh tumpuan dan penjagaan tanpa gangguan. FOTO Arkib NSTP
PUASA perlu dilaksanakan dengan penuh tumpuan dan penjagaan tanpa gangguan. FOTO Arkib NSTP
Nor Asree Mohd Noh

Telefon pintar peranti biasa buat setiap individu dalam dunia moden hari ini. Realitinya, ia bukan saja dimiliki orang dewasa bahkan kanak-kanak bawah umur. Islam sama sekali tidak pernah melarang penggunaannya bahkan mengharuskan atas banyak perkara yang boleh dimanfaatkan melaluinya Namun, ada juga segelintir tersasar dalam hal ini. Lebih-lebih lagi apabila seseorang masuk alam maya, ia tiada penghujungnya.

Contohnya hari ini, dalam Facebook, Instagram, X, YouTube dan apa sahaja seangkatan dengannya, seseorang boleh terdedah dengan anasir yang negatif. Anasir begini memberi kesan pada tingkah laku seseorang termasuk dalam ibadah seharian. Tambahan pula, sekarang umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Puasa ibadah istimewa buat umat Islam. Ia perlu dilaksana dengan penuh tumpuan dan penjagaan. Hal ini kerana ganjaran puasa Allah SWT sendiri menentukannya berbanding ibadah lain. Ada sebuah riwayat hadis: "daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bahawa Allah SWT berfirman: "Setiap amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri akan memberi balasannya." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan di saat seseorang hamba berpuasa, ia mendapat perhatian oleh Allah SWT ketika dirinya melaksanakan amalan tersebut. Maka, dia sentiasa berwaspada dan teliti dalam menjaga puasanya, bukan sahaja menahan makan minum, bahkan segala anggotanya daripada terjerumus maksiat.

Hal ini kerana melalui peranti atau telefon pintar sahaja, seseorang dapat akses pelbagai perkara. Kadangkala, perkara yang bukan dalam cariannya juga'muncul' atau 'lalu' secara tiba-tiba. Tidak terkecuali keluar daripada kaca skrin telefon seseorang, gambar atau tangkap layar atau video yang dapat merosakkan pahala puasa.

Sungguh tidak dapat dinafikan, ada di dalam medsos bermacam bentuk hantaran (posting). Contohnya, ada yang boleh mengundang syahwat, menonton daripada hantaran wanita bukan mahram, dalam keadaan pakaian tidak menutup aurat, suara mendayu-dayu atau lebih lagi dengan promosi jelek berpakaian seksi atau separuh bogel walaupun tujuan asalnya membuat jualan. Sedangkan menonton perkara yang boleh menimbulkan nafsu makan ketika berpuasa, tidak digalakkan sebahagian ulama kerana boleh lari daripada tujuan sebenar puasa.

Tidak kurang juga, pengguna medsos membuat posting atau komen berbentuk cacian, laknat, pembohongan, bahasa kotor seperti mencarut, bercakap lucah dan lain-lain yang semua dikira dosa oleh syarak. Oleh sebab itu, sambungan bagi riwayat berkenaan ganjaran pahala puasa milik Allah tersebut, "…apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah bercakap perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendaklah ia berkata, "Sesungguhnya aku berpuasa hari ini." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya melalui telefon, individu cenderung pada dosa mulut yang boleh diertikan sebagai dosa tangan yang menulis, dek kerana seseorang menaip atau komen yang asalnya 'terjemahan' daripada mulut.

Bukan sahaja berkata keji semasa puasa akan menjejaskan puasa, bahkan bercakap perkara sia-sia dan berkelakuan bodoh turut dilarang. Demi mendapat tontonan tinggi, segelintir rela membuka aibnya atau seorang lelaki boleh berlakon memakai hijab menjadi perempuan atau berlawak bodoh dan bercakap sombong dalam nada riak menunjuk-nunjuk berkenaan diri dan sebagainya. Sebab itu, dalam tafsiran lafaz hadis tentang puasa, "…sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri akan memberi balasannya…," ada sarjana berpandangan puasa ini suatu ibadah yang sukar disertai sifat riak padanya.

Dalam Islam, ada kaedah usul feqah iaitu sadduzarai yang membawa erti menghalang jalan-jalan yang membawa kepada perbuatan jenayah, dosa dan maksiat.

Daripada pemahaman kaedah ini, penulis berpandangan setiap individu perlu waspada semasa menggunakan telefon pintar. Pengguna wajib menghindari hantaran tulisan mahupun video yang boleh merosakkan pahala. Bagi langkah selamat, lebih baik digunakan telefon pada masa betul-betul diperlukan sahaja. Lalu, ditinggalkan daripada mengakses halaman atau pautan tertentu yang mungkin 'membawa' ke lembah dosa. Dinasihatkan supaya tidak memberi komen cacian, makian, hinaan kepada orang lain.

Oleh itu, Nabi SAW bersabda: "…puasa ialah perisai." Ia bererti dengan seseorang berpuasa, dirinya sentiasa terkawal daripada melakukan hal-hal membatalkan puasa, juga menjaga anggota badannya daripada melakukan maksiat.

Setiap mukmin berpuasa, diwajibkan meniru golongan salaf dalam mengharungi Ramadan. Hal ini kerana sebelum kedatangan Ramadan, mereka akan ternanti-nanti dan memohon kepada Allah menemukan mereka dengan Ramadan.

Sudah pasti, mereka menyambut seruan Allah untuk menerima kewajiban ini dengan perasaan rindu. Kerinduan ini menjadikan diri mereka yang bersedia menyambut 'tetamu' Ramadan. Persediaan dibuat tidak hanya dengan amalan intensif menuju Ramadan seperti berpuasa sunat, membaca al-Quran, beriktikaf, berjemaah di masjid dan lain-lain, malah mereka cuba untuk meninggalkan perbuatan makruh atau perkara yang cenderung membuka kepada maksiat dan mengurangkan pahala puasa demi mencapai takwa.

Justeru itu, telefon pintar memberi peranan besar dalam penentuan kualiti puasa seorang. Ia perlu digunakan dengan cermat bukan saja pada bulan puasa, bahkan pada 11 bulan lain kerana hikmah kehadiran Ramadan ialah melatih umat Islam membentuk peribadi hamba yang takwa dan taat pada Tuhan Maha Pencipta.

Penulis Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Islam Melaka (Unimel)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 7:00 AM