GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Menurut al-Quran, salah satu daripada hikmah ibadat puasa diwajibkan kepada umat Islam ialah untuk menjana ketakwaan agar bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang Muslim. Ironisnya, takwa adalah sebahagian daripada terminologi al-Quran apabila ia bukan hanya sekadar slogan yang begitu mudah dituturkan oleh lidah yang tidak bertulang, sebaliknya takwa adalah teras yang mendasari seluruh ruang lingkup kehidupan seharian manusia.

Dalam erti kata lain, takwa itu bukan sekadar khusus kepada amalan ibadat kerohanian dan keagamaan semata-mata, malahan takwa adalah satu manifestasi kepada seluruh aktiviti kehidupan manusia sejagat.

Sehubungan itu, Allah Taala berfirman maksudnya: "Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa; iaitu orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 2 - 3)

Jelas dari maksud ayat suci di atas mengisyaratkan betapa menyeluruhnya makna takwa dalam seluruh detik kehidupan manusia sehingga Rasulullah SAW pernah menyatakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id Al-Khudri bahawa takwa adalah himpunan segala kebajikan.

Dalam konteks puasa untuk takwa, Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah pernah mencatatkan dalam kitabnya Zad Al-Ma'ad betapa seluruh aktiviti kehidupan Rasulullah SAW dalam berpuasa sarat dengan makna yang cukup mendalam daripada yang berbentuk ibadat kepada Allah hinggalah aktiviti intelektual, sosial, jihad dan seterusnya.

Seorang ulama sufi tersohor, Fudhail bin 'Iyadh selalu bekerja dan beramal dua kali ganda dari biasanya bila sahaja datangnya bulan Ramadan. Ketika hal ini ditanyakan kepadanya, lantas beliau menjawab: "Bukankah Rasulullah SAW melalui hadis qudsinya pernah menyatakan bahawa Allah Taala akan melipatgandakan pahala kebajikan dari 10 hingga 700 kali ganda kecuali ibadat puasa sebab puasa itu khusus untuk Allah Taala di mana Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat ganda lagi. "

Lanjut Fudhail lagi: "Tidak ada alasan lagi bagiku untuk bermalas-malasan. Inilah bulan ganjaran dan pahala. Aku berpuasa, aku mendapat pahala. Aku bekerja sambil berpuasa, aku mendapat pahala. Kemudian hasil kerjaku itu sebahagiannya aku dermakan kepada orang yang memerlukan. Dengan demikian, aku mendapat keutamaan dan ganjaran pahala tiga kali ganda."

Demikianlah persepsi Fudhail terhadap ibadat puasa di dalam bulan Ramadan di mana ia amat jauh berbeza dengan persepsi berpuasa di kalangan umat Islam kini yang begitu mudah mengaitkan puasa itu dengan malas bekerja, tidur di siang hari, tidak produktif dan lain-lain lagi sifat negatif. Sedangkan, persepsi Fudhail mencerminkan betapa ibadat puasa itu adalah satu aktiviti ibadat yang sarat dengan nilai-nilai kerohanian dan keagamaan dan sekali gus juga aktiviti yang penuh produktif dan bermakna kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.

Serentak dengan itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah menegaskan bahawa bukanlah takwa kepada Allah itu dengan melaksanakan puasa sunat di siang hari atau solat sunat di malam hari atau melakukan kedua-duanya sekali. Tetapi takwa kepada Allah ialah kemampuan untuk meninggalkan apa-apa yang diharamkan Allah Taala dan juga melaksanakan segala kewajipan-Nya. Kemudian, jika itu sudah dilakukan dan ditambah lagi dengan kemampuan melaksanakan amalan sunat, maka itu adalah kemuncak kebajikan di atas segala kebajikan.

Ini bermakna umat Islam bukan sahaja dituntut meningkatkan kualiti dan kuantiti amalan ibadat yang dianjurkan Islam sepanjang Ramadan, bahkan dalam masa sama umat Islam dituntut menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan dan juga yang mencacatkan kesempurnaan ibadat puasa itu sendiri. Dalam istilah fiqah, amalan menahan diri itu lebih dikenali sebagai imsak.

Imsak itu sebenarnya adalah hakikat ibadat puasa Ramadan di mana ia secara terminologi fikah membawa maksud menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan ibadat puasa bermula dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari dengan niat ibadat penuh pengharapan kepada keredaan Ilahi. Dalam erti kata lain, menahan diri yang dimaksudkan itu bukanlah sekadar tidak makan dan tidak minum, bahkan juga seluruh perkataan dan perbuatan yang boleh merosakkan pahala dan nilai ibadat puasa itu.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang tidak ada manfaatnya (laghwu) dan perbuatan yang kotor dan keji (rafath). Bahkan jika seseorang memarahi kamu, katakanlah kepadanya bahawa kamu sedang berpuasa." (Hadis riwayat Ibnu Hibban & Hakim)

Jelas di sini menahan diri secara total dan menyeluruh itulah yang bakal menghasilkan takwa yang sebenarnya bagi orang yang berpuasa selaras dengan objektif utama pensyariatan ibadat puasa oleh Allah Taala kepada umat Islam di mana natijahnya akan terbias menyinari dalam setiap detik kehidupan sehariannya, baik ketika berada di bulan suci Ramadan mahupun sesudahnya.

Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW menyeru umatnya supaya meninggalkan apa yang jelas diharamkan dan dilarang Allah Taala. Di antara larangan itu ialah berkata dusta, perbuatan ghibah iaitu menyebut sesuatu yang ada pada orang lain sedangkan orang berkenaan tidak begitu senang bila hal itu diungkapkan dan perbuatan namimah iaitu menyebarkan perkataan seseorang mengenai peribadi orang lain sehingga mencetuskan pergaduhan dan merosakkan perhubungan dua orang yang bersahabat atau mengadu domba.

Dalam hal ini, sahabat Nabi SAW iaitu Jabir bin Abdullah RA pernah berkata: "Jika kamu berpuasa, maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu dari perkataan dusta dan segala yang haram. Janganlah kamu menyakiti jiran tetangga, hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan janganlah kamu jadikan hari-hari puasamu itu sama dengan hari-hari ketika kamu tidak berpuasa."

Orang yang berpuasa itu ialah orang yang berpuasa dari perbuatan dosa dan maksiat. Lidahnya tidak melafazkan perkataan bohong, tidak berbicara dengan bicara yang kotor, palsu atau sia-sia. Perutnya berpuasa dari makan dan minum. Kemaluannya berpuasa dari bersetubuh. Kalau lidahnya berbicara, dia hanya akan berbicara yang benar dan berunsurkan nasihat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Bicaranya baik dan lembut, amal perbuatannya pula luhur dan salih. Justeru, Rasulullah SAW sentiasa menganjurkan umatnya yang melaksanakan ibadat puasa bulan Ramadan supaya menghiaskan diri mereka dengan budi luhur dan amal soleh, menjauhkan diri dari berkata dusta dan keji yang terlarang.

Dengan demikian, takwa adalah satu kesedaran moral dan keinsafan spiritual yang sangat tinggi yang hanya diperoleh dari satu bentuk latihan atau amalan yang menuntut kesungguhan dan pengorbanan. Dengan itu, ibadat puasa berupaya melahirkan peribadi yang terbilang, jujur dan bertanggungjawab serta bersemangat waja dalam menelusuri pentas kehidupan yang penuh liku.

Kesimpulannya, hasil puasa bukan hanya diukur dengan sekadar menahan lapar dan dahaga selama sebulan penuh Ramadan. Malahan nilai ibadat puasa yang sebenarnya dilihat pada aplikasinya pada 11 bulan yang seterusnya.

Sebab itulah seseorang itu dianggap berjaya dalam ibadat puasanya apabila sikap dan perilakunya merasai kehadiran pengawasan Allah Taala sehingga dia tidak berani berlaku dusta, rasuah, bahkan mengkhianati seseorang pun, dia tidak akan tergamak melakukannya kerana selama berpuasa Ramadan, dia berpuasa dengan sepenuh jiwa raganya yang akhirnya membentuk dirinya sebagai seorang hamba yang hanya menurut kepada kehendak Ilahi semata-mata.


Penulis profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 12:01 PM